Kuala Lumpur - Parti-parti politik antarabangsa termasuklah kuasa besar dunia, Parti Komunis China (CPC) melahirkan rasa kagum terhadap anggota perwakilan UMNO yang mewakili ahli parti di akar umbi menyatakan solidariti dalam Perhimpunan Agung UMNO 2016.
Ahli Jawatankuasa Pusat Wilayah Heilongjiang CPC, H.E Sun Yao berbesar hati dapat melihat kesetiaan dan kesepaduan para perwakilan yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan UMNO.
“UMNO sangat dikenali di peringkat antarabangsa sebagai sebuah parti politik yang membina dan sentiasa memperkasakan bangsanya dengan mendapat sokongan berdasarkan perjuangannya tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kunjungan hormatnya bersama enam delegasi lain kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
“CPC sangat berbangga kerana mempunyai hubungan yang akrab dengan UMNO dan dapat berkongsi pelbagai perkara bukan sahaja membabitkan hal-hal politik tetapi menjangkau sehingga soal pembangunan dan kemajuan bersama,” katanya.
Beliau turut menyampaikan perutusan tahniah daripada CPC kepada kepimpinan UMNO atas berlangsungnya persidangan parti.
Hal tersebut turut diakui oleh delegasi dari Republik Niger yang juga mengadakan kunjungan hormat diwakili oleh Menterinya, Saidil Moctar Mohamed bagi pihak Nigerien Party For Democracy and Socialism-Tarayya (PNDS).
“Acara perasmian Perhimpunan Agung UMNO telah dilakukan dengan sempurna dan menunjukkan sokongan dari para perwakilan dengan penuh semangat. Tentunya sokongan ini lahir hasil daripada usaha dan kerja keras sehinggakan negara ini berkembang dengan begitu pesat, maju dan nama UMNO selari dengan nama Malaysia dikenali diperingkat global,” katanya.
Dalam perhimpunan ini, UMNO telah menerima seramai 109 orang delegasi luar, mewakili 27 parti melibatkan 19 buah negara yang dapat menyaksikan acara perasmian dan mendengar ucapan dari Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kelmarin.
0 comments:
Post a Comment