Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 6, 2016

LALUAN DARAT TERTUA SEMENANJUNG MALAYSIA

jalan-penarikan.jpg


Sekitar abad ke-13, terdapat satu laluan purba telah dibina di kawasan pedalaman daerah Jempol, Negeri Sembilan. Laluan tersebut dikenali sebagai Jalan Penarikan. 

Difahamkan, laluan terbabit mempunyai kaitan rapat dengan laluan sutera yang merentasi Pantai Barat Semenanjung ke Pantai Timur suatu ketika dahulu. 

Berdasarkan cerita lisan, laluan yang turut dikenali sebagai Londar Siam merupakan jalan darat tertua di Semenanjung Malaysia. 

Meskipun sejarah mengenai jalan ini tidak diketahui secara tepat dan tiada catatan khusus mengenainya, namun ia adalah sebuah lokasi yang sangat penting suatu ketika dahulu. 

Menurut Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Drs. Shamsuddin Ahmad, Jalan Penarikan merupakan sebuah laluan daratan yang digunakan oleh para pedagang dari Sumatera untuk menjalankan perniagaan di Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. 

Melalui jalan ini, mereka dapat membuat pintasan untuk memendekkan perjalanan menyeberang kawasan Pantai Timur ke Pantai Barat. 

Merangkumi tujuh buah kawasan, laluan ini dikatakan bermula dari sebatang sungai yang dikenali sebagai Sungai Muar. Menerusi Sungai Muar, laluan tersebut akan bertemu dengan sebatang lagi sungai yang dikenali sebagai Sungai Jempol. Kemudian, laluan itu akan melintasi sebuah pangkalan yang terletak di Kampung Bukit Laka, Negeri Sembilan. 

Bermula dari pangkalan ini, perahu atau jong yang digunakan oleh para pedagang ketika itu akan ditarik untuk melintasi satu jalan darat yang berpaya sehingga ke sebuah lagi pangkalan yang terletak di Sungai Serting. 

Menerusi Sungai Serting, laluan tersebut akan melalui dua batang sungai iaitu Sungai Bera dan Sungai Pahang sebelum sampai ke lokasi terakhir yang terletak di Bandar Pekan, Pahang. 

Selain menjadi laluan dagang pada ketika itu, kata Drs. Shamsuddin, Jalan Penarikan turut menjadi laluan utama yang digunakan oleh bala tentera dan pengembangan agama Buddha pada zaman kerajaan Langkasuka dan Srivijaya pada abad ke-6 Masihi hingga ke-13 Masihi. 

Ujarnya lagi, jalan tersebut juga dikatakan pernah dilalui oleh Sultan Mahmud Shah yang berundur ke Pahang selepas Melaka diserang oleh Portugis. 

Berdasarkan ekskavasi yang dilakukan, terdapat beberapa artifak yang ditemui sepanjang laluan purba ini. Antaranya, sebuah tapak yang dipercayai pernah dijadikan surau dan beberapa makam lama yang menunjukkan bukti kedatangan pedagang di kawasan tersebut. 

Selain itu, penemuan lain seperti blok-blok batu yang dipercayai digunakan sebagai tempat mengambil wuduk dan pengampu pelantar tiang surau turut ditemui. 

Jelas Drs. Shamsuddin, beliau percaya penemuan ini boleh menyokong fakta wujudnya sebuah rumah ibadat yang dibina sekitar tahun 1700 Masihi. 

Sementara itu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), turut melakukan kajian terhadap laluan purba ini. 

Kajian menjejaki laluan tersebut mulanya dilakukan oleh Allahyarham Profesor Dr. Norhalim Ibrahim kira-kira tujuh tahun lalu. Kini, penyelidikan itu diteruskan pula oleh seorang Felo Penyelidik Kanan ATMA, Profesor Madya Dr. Asyaari Muhamad. Beliau bersama dengan dua orang penyelidik lain iaitu Felo Penyelidik Utama ATMA, Profesor Datuk Dr. Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman dan Pensyarah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Dr. Norazuan Ibrahim. 

Kajian berkenaan mendapat bantuan geran sebanyak USD75,000 (RM246,525) dari Fundamental Research Grant Scheme (FRGS). 

Berdasarkan lapangan kajian, laluan tersebut merentasi bahagian Pantai Timur sehingga ke Pantai Barat di Semenanjung Malaysia. Melalui dua buah kampung iaitu Kampung Tambangan dan Kampung Lubuk Lading, laluan yang dijejaki meliputi tujuh buah kawasan iaitu Pekan, Kuala Bera, Tasik Bera, Bahau serta tiga sungai utama iaitu Sungai Serting, Sungai Jempol dan Sungai Muar. 

Menurut Dr. Asyaari, laluan Penarikan itu mempunyai kesan istimewa kerana bukan sahaja terkenal dari segi politik, budaya dan sosial malah pernah digunakan beberapa tokoh nasionalis. Sebagai contoh, pahlawan Melayu iaitu Mat Kilau pernah menggunakan laluan Penarikan untuk pulang ke kampungnya di Pahang. Begitu juga sebagaimana yang dihikayatkan bahawa pahlawan Hang Tuah juga menggunakan laluan ini untuk ke timur dan barat Semenanjung Malaysia. 

Selain itu, pedagang dan pengembara Islam juga menggunakan laluan purba ini untuk menyebarkan ajaran agama Islam kepada penduduk sepanjang laluan Penarikan. Ini terbukti dengan adanya sebuah tapak lama surau di Kampung Serdang, Kuala Pilah yang membuktikan wujudnya kegiatan agama yang tersebar melalui Jalan Penarikan itu.



0 comments:

share2