Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 11, 2016

IBU PELAJAR SYUKUR KES ANAK SELESAI


Ibu pelajar syukur kes anak selesai


Kota Bharu - “Walaupun anak saya sudah pergi buat selamanya, namun sepanjang lebih dua tahun saya tidak pernah putus-putus berdoa. Akhirnya doa termakbul apabila mahkamah memutuskan anak saya meninggal dunia akibat dibunuh, bukannya membunuh diri,”.

Itu luahan Rohani Hussin, 62, ibu kepada Wan Ahmad Faris Wan Yaakob, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas yang ditemui tergantung dalam keadaan separuh bogel pada Disember 2014.

Rohani berkata, keputusan Mahkamah Koroner semalam, telah mengembalikan maruah keluarganya selama ini memandang sinis terhadap mereka kerana menganggap anaknya membunuh diri.

“Syukur kerana Ramadan kali ini begitu bererti buat saya sekeluarga. Walaupun anak saya meninggal dunia akibat dibunuh dan saya tahu dia mati syahid.

“Saya harap polis menyiasat secara terperinci kes berkenaan bagi membolehkan individu yang menyebabkan kematian anak saya ditangkap.

“Sehingga kini kami sekeluarga masih bersedih. Kami hanya mempunyai dua cahaya mata, namun kini anak sulung sudah meninggal dunia. Saya berharap kes menimpa anak saya mendapat perhatian sewajarnya,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Terdahulu, Mahkamah Koroner di sini, semalam memutuskan kematian Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman pada Disember 2014 adalah dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.

Koroner, Adli Abd Ghalib membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 11 saksi termasuk keluarga, rakan mangsa, polis dan pihak sekolah.

Adli ketika membuat keputusan itu berkata, selepas mempertimbangkan beberapa faktor, terdapat kebarangkalian unsur lain atau individu yang menyebabkan kematian mangsa.

“Berdasarkan keterangan, tidak menunjukkan si mati mengambil sendiri nyawanya, sebaliknya kematian si mati disebabkan seseorang yang identitinya belum dikenal pasti,” katanya.

Prosiding inkues dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan dan keluarga mangsa diwakili peguam, Alias Ibrahim.

Mayat Wan Ahmad Faris ditemui tergantung pada 14 Disember 2014, dalam keadaan separuh bogel. Mayatnya ditemui oleh penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas asrama itu.

Melalui bedah siasat ke atas mayat waktu itu yang dijalankan oleh pakar forensik mengklasifikasikan kejadian sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.


0 comments:

share2