Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 6, 2016

[TEMERLOH] KOS KAHWIN HANYA RM 2 RIBU

Kos kahwin hanya RM2,000



Kos perkahwinan hanya RM2,000 berjaya menarik minat seramai 15 pasangan untuk dinikahkan secara serentak menerusi program Walimatul Urus 2.0 anjuran Pas di sini kelmarin.

Malah majlis pernikahan perdana yang kali kedua diadakan itu berjaya menarik kehadiran 12,000 tetamu terdiri daripada saudara mara dan kenalan semua pasangan pengantin terbabit.

Dalam program itu, kesemua pasangan diraikan oleh Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hasan dan Yang Dipertua Pas Kawasan Temerloh, Md Jusoh Darus selaku tuan rumah program.

Nasruddin berkata, setiap pasangan hanya dikenakan bayaran RM2,000 untuk menyertai program itu sementara pihak penganjur menguruskan majlis akad nikah dan kenduri sebagai satu usaha murni membantu golongan muda berkahwin.

Menurutnya, program seumpama itu mempermudahkan urusan perkahwinan dengan kos yang minima tetapi meriah dengan kehadiran keluarga dan sahabat handai sama seperti perkahwinan biasa.

“Pogram ini adalah hasil idea pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abd Jabar yang pertama kali menganjurkan program Kahwin Perdana bagi kawasan yang di wakilinya di Dun Tanjung Lumpur dan kini tersebar luas ke seluruh Pahang.

“Ia adalah idea yang baik dan mula mendapat perhatian masyarakat,” katanya kepada pemberita dalam ucapan ringkas pada program tersebut.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Dr Riduan Mohd Noor, manakala pemimpin Pas negeri diketuai Rosli Abd Jabar; Adun Berserah, Andansura Rabu dan Setiausaha Perhubungan Pas Roslan Zainal.

Turut sama memeriahkan majlis, Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang yang juga Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Sebelum itu, 15 pasangan pengantin baharu itu diarak sejauh 10 kilometer oleh 300 konvoi bermotosikal dari lokasi akad nikah iaitu di Masjid Baharu Temerloh ke tapak lokasi majlis di Bukit Bendera, Mentakab.

Sementara itu, pasangan pengantin Ahmad Khairul Nizam Ibrahim, 29, dan isterinya Siti Rohana Zakaria 31, memuji usaha penganjur menganjurkan program yang memberi manfaat kepada golongan belia.

“Sekarang ni kos nak buat kenduri pun mahal...lepas tamat pelajaran kebanyakan golongan muda tak mampu simpan wang untuk berkahwin kerana terpaksa membayar pinjaman pelajaran, membayar kenderaan, rumah dan sebagainya.

“Ada juga yang buat pinjaman untuk berkahwin dan ini sudah tentu menyukarkan kehidupan mereka kerana berhutang. Jadi usaha Pas dalam menganjurkan program seperti ini sangat memberi manfaat dan ia juga wajar diteruskan setiap tahun,” katanya.

Difahamkan selepas ini beberapa program serupa akan diadakan antaranya di Indera Mahkota yang melibatkan tiga kawasan iaitu Kuantan, Paya Besar dan Beserah pada 24 September ini.




0 comments:

share2