Di saat dia disahkan mengidap kanser payudara tahap dua pada Oktober 2013, jiwa Ratnawati Abu Bakar, 44, berkecamuk dan air matanya berjujuran jatuh ke pipi.
Berat baginya untuk menerima hakikat itu, apatah lagi apabila memikirkan maut mungkin menghampirinya.
Namun, sebagai seorang Islam, wanita tabah itu percaya, setiap dugaan dan ujian ALLAH itu pasti ada hikmah di sebaliknya.
Berdepan penyakit berbahaya tidak mematahkan semangat ibu tiga cahaya mata (anak kedua meninggal dunia) itu untuk bangkit mencari penawar bagi penderitaannya.
Menurutnya, pada mulanya dia berasa berat hati untuk menyampaikan berita itu kepada suami tercinta, Abdul Razak Harun, 56, namun ia terpaksa dilakukan demi kelangsungan hidup.
Ratnawati ternyata bertuah kerana lelaki yang menjadi tulang belakangnya selama ini begitu positif menerima berita mengejutkan itu.
Menceritakan detik awal penyakitnya, Ratnawati berkata, pada mulanya dia hanya menyedari terdapat ketulan pada bahagian kiri payudara.
Ketika itu langsung tiada rasa sakit namun lama- kelamaan dia mula tidak selesa dengan keadaan itu dan mengambil keputusan untuk melakukan pemeriksaan di hospital.
Rawatan lancar
Ratnawati berkata, dia menjalani beberapa ujian selepas menyedari terdapat ketulan pada bahagian kiri payudaranya.
Katanya, sebaik keputusan ujian diperoleh, doktor menasihatinya supaya menjalani pembedahan untuk membuang payudara pada Disember 2013.
“Ketulan sebesar 37 sentimeter (cm) berjaya dibuang dan saya bersyukur kerana semua urusan berjalan lancar.
“Selepas sebulan menjalani pembedahan, saya mula melakukan rawatan kimoterapi dan radioterapi. Sebanyak 15 kali radioterapi dan enam kali kimoterapi ditetapkan doktor,” katanya.
Menurutnya, sepanjang menjalani rawatan, dia mengalami keadaan yang sukar untuk dibayangkan.
Katanya, selain badannya lemah, muntah-muntah, keguguran rambut dan hilang deria rasa, ingatannya juga turut terjejas.
“Ketika itu, saya rasa sangat rendah diri, rasa hodoh, sedih, tidak sempurna sebagai seorang wanita. Pendek kata, saya menjadi seorang yang amat sensitif.
“Nasib baik suami dan anak-anak sentiasa beri sokongan. Suami saya menguruskan rumah tangga, memasak, cuci pakaian dan urus saya,” katanya.
Ratnawati berkata, selepas menjalani rawatan tersebut, dia hanya berkurung di dalam bilik kerana kesan ubat yang sangat kuat membuatkan badannya lemah dan memerlukan rehat yang cukup.
Anak bongsu rasa terabai
Sepanjang dia menghadapi penyakit dan rawatan, anak bongsunya, Nur Batrisyia, 9, yang ketika itu berusia tujuh tahun masih belum memahami keadaannya.
Ratnawati berkata, walaupun sedih dan pilu tidak dapat memberikan kasih sayang yang sempurna namun mereka sentiasa berhubung melalui nota-nota kecil ditulis Batrisyia.
Katanya, nota-nota yang diselit di bawah pintu bilik itu masih tersimpan elok.
“Nota-nota yang dia tulis ada kalanya membuatkan saya sedih tetapi saya perlu kuat melawan segala kesakitan yang dilalui. Saya bersyukur kerana dapat melalui semua rawatan dengan baik dan sempurna,” katanya.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini, dia perlu bergantung pada ubat selama lima tahun untuk mengelak sel-sel kanser terus merebak.
Ratnawati berkata, sepanjang dia diuji dengan penyakit itu, dia mengangggapnya sebagai peluang untuk ‘berehat’ dan ruang bagi lebih mendekati ALLAH.
Katanya, dia lebih banyak meluangkan masa dengan mengaji dan mendalami agama.
“Alhamdulillah, saya lebih tenang dan bersyukur dengan ujian ALLAH SWT ini,” katanya.
Menjadi seorang pesakit kanser membuatkan Ratnawati mengenali Majlis Kanser Nasional (Makna) dan aktif melibatkan diri dalam pertubuhan itu.
Katanya, dia memperoleh banyak maklumat berhubung penyakit yang dihadapinya dan berkongsi dengan pesakit lain.
“Saya pasti, pesakit kanser memerlukan sokongan moral yang tinggi untuk menghadapi dugaan sepanjang menjalani rawatan.
“Justeru, saya tidak terbeban untuk menyumbang masa dan tenaga untuk bersama-sama pesakit kanser untuk berkongsi pengalaman,” katanya.
0 comments:
Post a Comment