Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 13, 2016

[JERANTUT] PENDUDUK FELDA SUNGAI RETANG DIHARAP BERSABAR


Isu air: Penduduk Felda Sungai Retang diharap bersabar


Masalah air yang melanda tanah rancangan ini sejak seminggu yang lalu dijangka akan diselesaikan melalui dua kaedah, kata Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris.

Ahmad Nazlan berkata, pihaknya telah melakukan perbincangan bersama pihak Felda dan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) bagi mencari formula terbaik bagi menyelesaikan masalah terbabit.

Katanya, hasil perbincangan terbabit, dua kaedah jangka masa pendek dan sederhana akan dilakukan untuk menyelesaikan masalah yang melanda penduduk tanah rancangan terbabit sejak berpuluh tahun dahulu.

Bagi kaedah jangka masa ‎pendek katanya, ketika musim perayaan, pihak Paip perlu memastikan bekalan tangki air bergerak bertambah terutama di kawasan-kawasan sensitif.

"Sekurang-kurangnya sebuah tangki bergerak untuk lima buah rumah supaya mereka tidak perlu berebut untuk mendapatkan bekalan air," katanya.

Selain itu katanya, pihak Paip juga harus memastikan bahawa air yang terdapat di dalam tangki yang disediakan sentiasa penuh dan mencukupi.

Bagi kaedah jangka masa sederhana pula, katanya, pihaknya akan mencari jalan supaya satu rangkaian paip baharu perlu dibina.

"Paip baharu bersaiz 10 inci, lebih besar dari paip sedia ada sekarang, ambil daripada Loji Air Itam bagi memastikan kuantiti bekalan air dapat dibahagikan ke seluruh penduduk Sungai Retang ini sama ada kawasan rendah mahu pun tinggi," katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya juga akan melihat kemungkinan sekiranya dapat dibina sebuah tangki khusus kepada penduduk tanah rancangan ini.

"Ini bagi memastikan bekalan air sentiasa ada dan jika berlaku terputus bekalan air, kita masih ada simpanan," katanya.

Beliau justeru itu berharap agar pihak kerajaan dapat membantu menyediakan peruntukan sekitar RM3 juta hingga RM5 juta bagi mengatasi masalah terbabit.

‎Dalam pada itu pada 10 Julai lalu, Sinar Harian telah menyiarkan berita berkaitan keluhan penduduk Felda Sungai Retang yang berang akibat masalah air yang melanda setiap kali musim perayaan sejak lebih 10 tahun lalu.

‎Kejadian ketiadaan bekalan air yang disalurkan daripada Loji Air Air Itam, di sini itu dikatakan berlaku kira-kira tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.


0 comments:

share2