Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 13, 2016

'DULU SAYA NAKAL, KINI LEBIH BIJAK'


'Dulu saya nakal, kini lebih baik'


Kulim - Pengurus Pasar Mini Wang Pheng Taman Kenari, Than Khim Pheng, 50, terkenal dengan sikap pemurahnya yang sering memberi pertolongan kepada sesiapa yang memerlukan tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

Pheng yang fasih berbahasa Melayu juga tidak lokek untuk mendermakan wangnya kepada masjid dan pusat-pusat kebajikan terutama untuk kemudahan orang Islam.

Katanya, dia cuba mempelajari agama Islam sejak lima tahun lalu dan mengakui ia dapat mengubahnya menjadi seorang yang lebih baik walaupun sekarang dia masih kekal dengan agama tradisinya.

“Saya sangat suka kan agama Islam. Saya percaya agama ini dapat mengubah hidup saya dulu saya seorang yang 'nakal' kini menjadi lebih baik.

“Saya juga suka menolong orang susah dan memerlukan tanpa mengira bangsa. Saya pernah dermakan wang untuk pusat perniagaan OKU, pembinaan masjid dan banyak lagi bagi kemudahan masyarakat.

“Saya percaya kalau kita sedekah dan bantu orang, tuhan akan tolong saya juga,” katanya.



Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2001 di daerah ini.

“Saya terharu dan juga berbangga kerana dinobatkan Tokoh Maal Hijrah pada tahun itu dan tak sangka niat ikhlas untuk membantu masyarakat diiktiraf sebegitu sekali,” katanya.

Pheng yang juga mempunyai dua orang anak dan seorang isteri itu berkata, beliau turut berpuasa sejak lima tahun lalu seperti orang Islam.

“Kehidupan saya berubah selepas bermimpi. Saya mula mengubah hidup seperti seorang Muslim yang lain seperti berpuasa dan tidak kekok untuk ke masjid bersama orang Islam lain ketika Ramadan.

“Setiap tahun saya juga akan berpuasa, memang ianya sangat mencabar bagi saya, memang saya hormat orang Islam yang boleh berpuasa lebih 12 jam sehari,” katanya.

Selain itu, Pheng juga sering mengenakan baju batik dan Melayu ke majlis-majlis keraian seperti program berbuka puasa dan kenduri-kendara.

“Saya suka juga baju batik dan baju Melayu kerana ia sangat sopan boleh dikatakan baju tradisi negara kita,” katanya.

Menurutnya, semua masyarakat di dalam negara ini sebenarnya tidak perlu mengira agama atau bangsa perlu menolong antara satu sama lain.

“Kita sebenarnya tidak perlu bersikap perkauman untuk menolong antara satu sama lain. Kita hidup dalam satu negara, malah satu kawasan yang sudah pasti terdiri daripada pelbagai kaum.

“Kalau ada yang susah sama ada Melayu, Cina atau India kita perlu tolong tanpa meminta balasan, biar tuhan saja balas. Malah begitu juga pekerja, tak salah kita tolong selagi mereka tidak menggugat keharmonian negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelanggan pasar mininya, Zaharah Aziz, 49, mengakui peribadi Pheng sangat baik dan sikapnya yang sentiasa ramah serta jujur membuatkannya terus menjadi pelanggan setia di situ.

“Saya tak sangka walaupun dia berlainan agama dan bangsa tapi peribadinya sangat baik.

“Kalau kita tak cukup wang dia akan cakap tak apa dia sedekah. Malah saya juga difahamkan ada sesiapa yang susah dan tak mampu boleh juga minta tolongnya walaupun kami berlainan agama.

“Saya harap ada lebih ramai individu seperti ini, membantu tanpa mengira sesiapa. Pheng ini juga suka hormat kepada semua orang dan seorang yang rendah diri,” katanya.


0 comments:

share2