Seremban - “Kerja tiga kali saja sebulan, sudah boleh dapat RM45,000. Siapa tak mahu," demikian luahan seorang lelaki yang terjebak dengan kegiatan jenayah sehingga merosakkan kehidupannya.
Akibat dikelilingi kemewahan, lelaki yang dikenali sebagai Azhar, 37, itu lupa diri, lantas menyebabkan kehidupannya tersasar jauh termasuk terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
Bagaimanapun, tuhan masih sayangkannya apabila dia kembali sedar dan menyesal akan kesilapan lampau sebaik saja dibebaskan daripada penjara baru-baru ini.
Menceritakan kisahnya, Azhar berkata, kehidupannya bersama isteri dan tiga anak musnah selepas dia terbabit dengan kegiatan menyeludup pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini, kira-kira lima tahun lalu.
“Bila fikir semula, kalau saya tidak gelap mata dengan bayaran lumayan ditawarkan, sudah tentu kehidupan saya tidak begini.
“Dulu saya kerja sebagai tukang masak dengan gaji RM2,500. Dengan wang simpanan yang ada, saya dapat buka kedai makan. Tapi bila dengar boleh dapat duit banyak dengan hanya bawa bot, saya seperti lupa diri,” katanya
Menurutnya, setiap kali membawa masuk Pati, dia akan dibayar sebanyak RM15,000.
Lebih menarik, katanya, kerja itu hanya dilakukan beberapa kali sahaja, namun dalam sebulan dia boleh mengumpul kemewahan.
“Isteri saya tahu apa saya buat. Dia selalu minta saya tinggalkan pekerjaan itu sebab berisiko. Tapi saya tak endahkan, kerana saya fikir dengan pekerjaan ini kami mampu hidup mewah.
“Akibatnya, kami selalu bergaduh. Saya selalu marah-marah dan mula minum arak menyebabkan isteri minta cerai selepas saya ditahan polis bagi kesalahan pertama memiliki bot curi,” katanya ketika ditemui wartawan Sinar Harian pada Program Interaksi Orang DiParol di sini.
Azhar berkata, kisah kehidupan gelapnya tidak terhenti setakat itu sahaja kerana selepas dibebaskan, dia sekali lagi memilih jalan salah apabila terjebak dengan penyalah gunaan dadah disebabkan tertekan berpisah dengan isteri.
Malah, katanya, dia sekali lagi ditahan dan kali ini nekad untuk berubah demi mencari kehidupan lebih baik.
“Saya betul-betul nak berubah dan insaf atas apa dilakukan sebelum ini. Tapi saya perlukan sokongan semua kerana bukan mudah untuk kami bekas banduan ini nak mulakan kehidupan baru.
“Betullah orang cakap, biarlah kita hidup sederhana janji bahagia. Saya tak nak lagi hidup mewah dengan cara begini, biarlah kita berusaha sendiri,” katanya yang baru sahaja memulakan kerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di bandar ini.
0 comments:
Post a Comment