Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 9, 2016

[KUANTAN] ADA 50 PASANG BAJU KURUNG


Ada 50 pasang baju kurung


Bergaul dengan rakan-rakan pelbagai bangsa sejak di bangku sekolah hingga ke menara gading bukan lagi satu masalah, sebaliknya ia mampu membina hubungan yang baik di samping membuang segala prasangka antara kaum di kalangan masyarakat di negara ini.

Pengalaman yang dilalui seorang pensyarah di Jabatan Perhotelan dan Hospitaliti Politeknik Muadzam Shah (PMS), Tan Kang Yee, 32, telah mendewasakannya hinggakan dia sendiri tidak mahir menulis serta membaca dalam bahasa Cina berbanding bahasa Melayu.

Berasal dari Kuantan, anak bongsu daripada tiga beradik itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (P) Methodist, di sana bermulalah pergaulannya dengan rakan-rakan berbilang bangsa yang mewajibkan mereka berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sahaja.

Ketika menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang, rakan-rakan dari kaum Cina di sekolah itu terkejut kerana dia bertutur dalam bahasa Melayu.

“Saya memang tidak pandai menulis dan membaca dalam bahasa Cina, namun masih boleh bertutur Kantonis serta Mandarin kerana di rumah saya bercakap dengan emak atau ayah dalam bahasa itu.

“Rakan-rakan sewaktu di sekolah menengah memang pelik kerana mereka anggap Cina dengan Cina sepatutnya bertutur dalam bahasa Cina tetapi saya kata pada mereka yang saya sudah biasa bertutur dalam bahasa Melayu hingga ada yang memanggil saya ‘banana’ yang diibaratkan seperti orang putih yang hanya tahu berbahasa Inggeris,” katanya sambil tertawa mengenang kembali kisah lalunya.

Sebenarnya, dia pernah dihantar ke kelas Pupils Of Language (POL) untuk mempelajari bahasa kaumnya sendiri sewaktu di sekolah rendah.

Usaha ibu bapanya mendedahkannya asas bahasa itu membuahkan hasil apabila dia boleh menulis nama sendiri.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam kursus Pengurusan Perniagaan (Sumber Manusia), beliau yang bercita-cita menjadi seorang guru memulakan kerjaya sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

Lebih selesa berbaju kurung

Pernah bertugas di beberapa buah sekolah dalam negeri Pahang, persekitaran kerja yang dikelilingi pelbagai bangsa itu juga telah merubah penampilannya yang kini lebih selesa mengenakan baju kurung.

Bukan sekadar penampilan, ia juga menarik minatnya berkaitan masakan Melayu sekali gus menjadikan beberapa menu seperti patin masak tempoyak, sambal tumis petai dan ikan keli goreng sebagai hidangan paling digemari.

“Sejak bekerja sebagai GSTT, saya mula memakai baju kurung kerana ia pakaian yang mudah untuk dipakai, tidak perlu nak padan kain dengan baju dan paling penting ia juga merupakan pakaian rasmi negara.

“Setakat ini, saya mempunyai 50 pasang baju kurung untuk pakaian harian dan jumlah itu menyebabkan almari pakaian penuh. Jika dicampur dengan jumlah baju yang telah didermakan kerana sudah tidak dipakai tentu lebih banyak,” katanya.

Berkongsi kisahnya di bulan Ramadan, beliau yang dikelilingi oleh rakan-rakan sekerja beragama Islam faham akan ibadah berpuasa itu dan tidak kekok mengucapkan maaf jika termakan atau terminum di hadapan mereka.

Bukan setakat rakan sekerja, majoriti pelajarnya juga adalah muslim dan dia yang faham dengan situasi berpuasa memilih untuk menjalankan sesi pengajaran secara ringan.

“Kalau bulan puasa saya akan menyorok untuk makan atau minum kerana tidak mahu dilihat rakan yang berpuasa. Kalau mereka ternampak saya sedang makan atau minum, saya akan minta maaf dan mereka kata tidak mengapa kerana kuat semangat.

“Ada juga kawan ajak berpuasa tetapi hingga kini saya masih belum mencuba, namun jauh di sudut hati teringin nak cuba dan tidak mustahil hasrat itu tercapai,” katanya.


0 comments:

share2