Shah Alam - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berpendapat bahawa penjenayah hari ini semakin berani melakukan kegiatan jenayah sehingga sanggup membunuh.
Menurut Musa, faktor utama yang menyebabkan penjenayah semakin berani adalah mereka tidak takut dengan tindakan undang-undang.
“Saya rasa sekarang mereka (penjenayah) makin berani, dulu penjenayah takut-takut. Bila berlaku pun (jenayah), kita dapat kesan secepat mungkin kerana risikan kita meluas ketika itu.
“Dahulu, kita (polis) tahu siapa individu terlibat dalam sindiket. Sampai ketua-ketua mereka pun kita tangkap sebelum ini. Jadi sekarang kita kena buat begitu balik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau mengulas beberapa kejadian siri tembakan yang dilakukan oleh pembunuh upahan, baru-baru ini.
Musa berkata, siasatan terhadap sindiket kegiatan haram adalah jalan terbaik untuk mengetahui siapa pembunuh upahan yang ditugaskan membunuh mangsa-mangsanya.
“Polis mempunyai maklumat berkaitan kegiatan haram. Jadi cuba siasat mereka yang terlibat. Pembunuh upahan mempunyai kaitan dengan mereka. Daripada situ mungkin dia dapat diberkas.
“Mangsa juga perlu disiasat. Dia perlu memaklumkan kepada polis jika mendapat ugutan. Mungkin dia (mangsa) tidak tahu dia ramai musuh,” katanya.
Selain menyarankan polis perlu bertindak dengan lebih berkesan, Musa berkata, kawalan di pintu sempadan negara juga perlu dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan penyeludupan senjata api.
“Kejadian tembak yang berlaku sebelum ini, lazimnya menggunakan senjata haram. Jika halal, sudah tentu pelakunya dapat diberkas.
“Disebabkan itu, perlunya mempertingkatkan kawalan di pintu masuk di sempadan supaya penyeludupan senjata api dapat dikurangkan.
“Jalin kerjasama dengan polis Thailand supaya polis dapat maklumat dari mana senjata diperoleh,” katanya.
0 comments:
Post a Comment