Putrajaya - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Malaysia agar bekerjasama dengan kerajaan dan pasukan keselamatan dalam memerangi kumpulan pengganas di negara ini.
Sebagai contoh, beliau berkata mereka boleh memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya berlaku kejadian atau aktiviti yang mencurigkan.
"Kita berada dalam era globalisasi. Apabila kita berada dalam dunia yang tiada sempadan, maka, apa yang berlaku di luar negara kita, ia akan ada tempias dan menular di negara kita, biar soal ekonomi atau keselamatan.
"Sebagai asas, kita harus menolak fahaman ekstremisme, militan. Gunakan kesedaran, wasatiyah sebagai landasan," katanya ketika lintas langsung Astro Awani bersempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini semalam.
Sementara itu, Najib berkata kerajaan sentiasa meningkatkan keselamatan negara dan mengambil tindakan penguatkuasaan dalam usaha membendung Daesh.
Beliau menyaran semua pihak memainkan peranan untuk meningkatkan kefahaman rakyat tentang Islam yang sebenar.
Perdana menteri berkata insiden serangan pengganas di Madinah merupakan perbuatan yang mencemarkan imej Islam berikutan segelintir kecil yang beragama Islam tetapi tidak faham Islam yang sebenar dan membunuh mereka yang tidak berdosa.
"Ia merupakan satu kesalahan cukup besar di sisi Islam. Maka, kita harus terus berusaha selain mengambil tindakan dalam bentuk penguatkuasaan, kita perlu meningkatkan kefahaman rakyat tentang 'authentic Islam'," katanya ketika lintas langsung bersama Bernama News Channel (BNC).

0 comments:
Post a Comment