Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 6, 2016

PENUMPANG KE KLIA, KLIA2 DIPERIKSA


Liow Tiong Lai


Putrajaya - Semua penumpang yang menggunakan KL Sentral sebagai pintu masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) akan diperiksa secara rapi sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi ancaman serangan pengganas.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata bag-bag yang dibawa oleh penumpang turut akan diperiksa dengan menggunakan sensor serta mesin pengimbas berikutan jumlah pengguna yang semakin bertambah setiap hari.

Selain KL Sentral, beliau berkata kawalan keselamatan semua pintu masuk utama seperti lapangan terbang, stesen keretapi dan pelabuhan turut diperketatkan selepas militan IS mengancam menyerang Malaysia dan Indonesia.

"Di KL Sentral, kita telah memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) dan mesin pengimbas untuk penumpang yang masuk ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 melalui KL Sentral. Ia merupakan pintu masuk kepada KLIA," katanya.

Tiong Lai berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Terbuka Hari Raya Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

Menurut Tiong Lai: "KL Sentral, pada masa dahulu ada kelonggaran dalam aspek keselamatan memandangkan ia bukanlah satu 'check point' masuk ke KLIA tetapi, sekarang memandangkan situasi keselamatan lebih tinggi, kita telah mengarahkan semua bag dan penumpang perlu diperiksa secara rapi dan perlu melalui pemeriksaan keselamatan itu."

Dalam pada itu, Tiong Lai memberi jaminan bahawa rakyat tidak perlu panik kerana negara berada dalam keadaan stabil dan selamat serta semua prosedur operasi standard (SOP) keselamatan telah diaktifkan untuk menjaga kesejahteraan rakyat.

Jumaat lepas, Tiong Lai berkata kawalan keselamatan di pintu masuk KLIA dan KLIA2 telah dipertingkatkan ke tahap ambar sejak Mac.


0 comments:

share2