Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 9, 2016

PADAH LETAK NOMBOR PLET SUKA-SUKA


Padah letak nombor plet suka-suka


Melaka - Tindakan seorang pelajar kolej vokasional sengaja meletakkan nombor plet 'LC135' pada motosikal miliknya membawa padah apabila dia ditahan dalam operasi, awal pagi semalam.

Pelajar kolej berkenaan sengaja meletakkan nombor plet berkenaan dipercayai mengambil kira jenama motosikal Yamaha LC135.

Bagaimanapun, tindakan itu menyebabkan pelajar berusia 17 tahun itu ditahan akibat kesalahan memalsukan nombor pendaftaran.

Dia ditahan sepasukan polis di Lebuh Ayer Keroh berhampiran Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini selepas berlumba bersama sebuah lagi motosikal.

Difahamkan, remaja yang baru menggunakan pendaftaran palsu dalam tempoh kurang dua minggu itu bertindak demikian hanya untuk suka-suka sebelum ditangkap polis dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi.

Menurut sumber, selepas ditahan pelajar terbabit bagaimanapun memberikan kerjasama sebelum motosikalnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

"Di lokasi berasingan, remaja berusia 16 tahun dari Rembia, Alor Gajah juga ditahan dipercayai berlumba bersama beberapa motosikal lain sebelum ditahan polis berhampiran Pasar Raya Keluargaku.

“Berlaku pergelutan antara anggota dan remaja lelaki terbabit ketika cuba meloloskan diri dari dicekup selepas anggota polis yang memperkenalkan dan meminta memberi kerjasama sebaik sahaja menahannya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, kedua-dua remaja lelaki berkenaan antara enam ditahan sepasukan polis dalam Operasi Samseng jalanan di empat lokasi di daerah ini, semalam.

"Kesemua lelaki berusia 16 hingga 25 tahun yang ditahan telah dikenal pasti berlumba dan melakukan aksi berbahaya di Lebuh AMJ dekat Melaka Sentral, Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Dataran 1 Malaysia dan Lebuh SPA.

"Keenam-enam mereka kini ditahan selepas mendapat perintah reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala pelajar lelaki berkenaan disiasat dibawah Seksyen 108 (E) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, operasi selama enam jam berakhir 5 pagi yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Melaka Tengah, Asisten Superintendan Mohd Nizam Yusoff turut disertai tujuh anggota dan pegawai trafik.


0 comments:

share2