Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 12, 2016

HARUMANIS CECAH RM50 SEKILO


Harumanis cecah RM50 sekilo


Kuala Perlis - Kekurangan hasil mangga harumanis pada tahun ini menyebabkan harga pasaran bagi buah berkenaan naik mendadak.

Rata-rata penjual perlu menaikkan harga bagi membolehkan mereka menampung kos tertentu termasuk pembelian dari ladang dan kos penjagaan pokok.

Menurut seorang penjual harumanis, Halijah Bi Ibramsa, 58, harga harumanis pada tahun ini paling tinggi pernah dijual berbanding musim sebelumnya.

Dia yang sudah 20 tahun menceburi dunia perniagaan harumanis berkata, kenaikan harga itu disebabkan hasil pengeluaran buah yang turun dua kali ganda.

"Saya tak ada ladang, semua buah yang saya jual saya ambil dari ladang orang dan harga yang saya tetapkan memang agak mahal tapi ia bergantung pada kos pembelian saya dari ladang dan juga jenis harumanis,” katanya ketika ditemui wartawan Sinar Harian di gerai jualannya di Kuala Perlis, semalam.

Peniaga sudah lali digelar penipu

Tambah Halijah Bi, dia menjual harumanis gred premium A dengan harga RM50 sekilo pada kali ini berbanding pada musim lalu hanya RM30 sekilo bagi jenis yang sama.

“Saya pun bukan sengaja nak letak mahal, ini pun saya ambil untung RM5 saja sebab saya ambil dari ladang sekilo RM45,” ujarnya.

Menurutnya, dia sudah lali digelar penipu oleh pembeli yang tiba-tiba naik angin apabila dinyatakan harga harumanis itu.

“Bagi saya, meniaga ni punca rezeki jadi saya tak akan menipu pelanggan.

“Saya sarankan orang ramai kalau nak beli harumanis baca sedikit maklumat di internet untuk kenal pasti ciri-ciri harumanis yang asli supaya tidak sesuka hati melabel penjual seperti saya ini adalah penipu,” katanya.

Dalam pada itu, Halijah Bi turut berkongsi ciri-ciri harumanis yang asli iaitu mempunyai dua dagu dan kepala buah masuk ke dalam.

Seorang lagi peniaga gerai buah harumanis di sekitar Kuala Perlis, Akmalrizal Rosdi, 16, berkata, memang tak dinafikan pelanggan banyak merungut tentang harga harumanis musim ini.

“Memang harga mahal, tapi saya ambil dari ladang pun mahal terpaksalah jual mahal sedikit,” katanya.

Di gerai Akmalrizal mangga harumanis gred A berharga RM45, RM40 bagi gred B dan RM35 untuk gred C.

Sementara itu, seorang pembeli Siti Rohani Md Jusoh, 43, berkata, dia mengambil kesempatan membeli harumanis apabila datang ke konvokesyen anaknya di Universiti Teknologgi Mara (UiTM) Arau.

Siti Rohani yang datang dari Kelantan berkata,dia tidak menyangka buah mangga harumanis sangat mahal.

“Saya ambil keputusan beli juga kerana tidak pernah merasa harumanis yang dikatakan sangat sedap.

“Dalam sekilo hanya boleh dapat dua biji sahaja, jadilah sekadar rasa,” katanya sambil tersenyum.

Harumanis tidak dapat dieksport ke luar negara

Sementara itu, Pengarah Pertanian Perlis, Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata, harga mangga harumanis yang ditetapkan oleh pihak pertanian dan telah dipersetujui pihak peladang ialah RM30 sekilo bagi gred A dan RM25 untuk lain-lain gred.

Menurutnya, pada tahun ini pihaknya tidak dapat mengeksport harumanis ke luar negara kerana permintaan dalam negara tidak mencukupi.

“Musim lalu kita dapat mengeksport harumanis ke Jepun, Singapura dan Brunei dalam kuantiti yang banyak sekitar empat tan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam membeli supaya tidak tertipu.

0 comments:

share2