Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 8, 2016

‘DATUK WAN TIDAK SEMPAT LIHAT ANAK KAHWIN'


‘Datuk Wan tidak sempat lihat anak kahwin’


Kuala Kangsar - Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad tidak sempat menyaksikan majlis perkahwinan anak keduanya, Wan Imar Izzat, 25, yang dijadual pada Ogos depan.

Isteri Allahyarham, Datin Mastura Mohd Yazid berkata, arwah suaminya begitu teruja untuk majlis tersebut sehingga mahu mereka bentuk sendiri pelamin untuk itu.

Begitupun, hajat beliau tidak kesampaian apabila bekas Adun Bukit Chandan itu maut dalam nahas helikopter di Kuching, Khamis lepas.

"Arwah berhajat membuat pelamin untuk majlis persandingan anaknya. Beliau beriya-iya mahu membuatnya, mungkin disebabkan kami bakal menerima menantu pertama.

"Arwah juga berhasrat untuk mengadakan kenduri di Kuala Kangsar dan mahu menjemput rakyat menghadiri majlis itu. Beliau cadang nak sajikan makanan kampung kepada tetamu.

"Namun sayangnya hajat beliau tidak kesampaian. Datuk sangat sayangkan Kuala Kangsar dan Perak. Pada dia, Perak is the best," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Menurut Mastura, beliau perlu memikirkan semula tarikh majlis perkahwinan anaknya yang telah ditetapkan sebelum ini selepas insiden melibatkan keluarganya.

Baginya, keluarganya masih dalam keadaan hiba dengan pemergian suaminya dan sebolehnya mereka enggan mengadakan majlis keraian dalam masa terdekat.

"Bukan saya tak mampu nak buat majlis perkahwinan tetapi sekarang saya dalam keadaan berbeza kerana Datuk sudah tiada.

"Saya akan berbincang semula mengenai tarikh perkahwinan dengan keluarga bakal isteri anak saya, mungkin buat majlis pernikahan dahulu dan majlis resepsi tahun depan," katanya.

Ujarnya lagi, beliau reda dengan pemergian suaminya namun tetap tidak dapat mengelak daripada merasai kehilangannya.

Katanya lagi, arwah suaminya seorang yang baik dan beliau merasa amat bertuah dikurniakan seorang suami yang mempunyai personaliti sangat telus.

Mastura berkata, sepanjang 27 tahun perkahwinan mereka, beliau sanggup mengetepikan kariernya demi memberi keutamaan kepada tugas suaminya sebagai wakil rakyat.

"Saya cuba menghadapi realiti Datuk sudah tiada. Sebenarnya saya takut menghadapi hidup ini sendirian.

"Malah saya meraung apabila melihat baju-baju perjuangan Datuk bersama Umno dan Barisan Nasional yang disimpan di dalam almari sehingga terpaksa ditenangkan anak-anak," ujarnya.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Wan Emir Astar, 26, Wan Imar Izzat, Wan Iskandar, 23, dan Wan Muhammad Amar, 19.


0 comments:

share2