Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 19, 2016

[BENTONG] SEMAKIN BANYAK ULAR MASUK RUMAH


Semakin banyak ular masuk rumah


Panggilan kecemasan berhubung kemasukan ular ke dalam kediaman penduduk meningkat di daerah ini sejak kebelakangan ini, dipercayai susulan cuaca panas akibat fenomena El Nino yang sedang melanda negara. di daerah ini.

Pegawai Pertahanan Awam (JPAM) Bentong, Mohd Zulkhairi Adek Awang berkata, pihaknya menerima 256 panggilan sepanjang Mac dan 145 panggilan dari awal April hingga kini.

Menurutnya, dalam keadaan cuaca panas, reptilia itu akan mencari tempat yang sejuk untuk berlindung.

Mohd Zulkhairi berkata, orang ramai di daerah ini dinasihatkan supaya tidak bertindak sendiri hingga boleh membahayakan nyawa sekiranya haiwan berbahaya itu memasuki rumah.

“Jika ternampak ular, segera hubungi JPAM. Jangan ambil tindakan melulu, kalau tersilap langkah perkara tak diingini akan berlaku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata, pagi semalam, pihaknya berjaya menangkap seekor ular sawa sepanjang enam meter di Kampung Chegar Medang, Benus dan ular sawa seberat 70 kilogram di Padang Tras pada awal bulan ini.

Zulkhairi berkata, keadaan rumah yang semak-samun juga menggalakkan reptilia berbisa seperti ular kapak, ular senduk dan tedung selar menceroboh masuk.

Dalam pada itu beliau berkata, JPAM sentiasa bersedia menangani ancaman haiwan berbisa itu dan mempunyai anggota mahir selain dilengkapi pelbagai peralatan terbaharu.

Katanya, setakat ini kes tangkapan ular di daerah itu dapat ditangani dengan baik dan tiada kes patukan ular berbisa dilaporkan.

“Kita dapati kes mula menurun pada bulan ini disebabkan hujan mula turun di Bentong namun masyarakat harus sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan ancaman ular ini,” katanya.


0 comments:

share2