Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 19, 2016

[ROMPIN] BAU ASAP JEJAS PENDUDUK SETEMPAT


Bau asap jejas penduduk setempat


Sebanyak 45 aduan kebakaran diterima melibatkan kebakaran lalang, belukar, hutan atau ladang sepanjang Januari hingga kini.

Statistik dicatatkan itu merangkumi kejadian di sekitar Nenasi, Pekan yang menjejaskan udara di beberapa kawasan sekitar Kuala Rompin.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Shukri Abd Rahim berkata, tidak dinafikan dua atau tiga hari lalu terdapat kebakaran hutan yang merebak ke kawasan ladang, ditambah dengan beberapa kebakaran belukar yang dipercayai menyumbang kepada masalah asap.

Menurutnya, kebakaran di Nenasi yang bersempadan dengan daerah Rompin itu menambahkan lagi pencemaran udara, termasuk pada waktu pagi.

"Angin yang bertiup dari arah laut pada waktu pagi menyebabkan udara di beberapa kawasan tercemar dengan asap, malah bau asap turut mengganggu penduduk di kawasan terlibat.

"Bagaimanapun keadaan itu tak lama kerana pada sekitar jam 11 pagi, angin darat mula bertiup dan asap beransur hilang dan udara pulih seperti biasa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, pihaknya kini mengambil tindakan proaktif dalam menangani kebakaran belukar atau lalang, terutama di tepi jalan utama dengan melakukan rondaan berkala bagi mengelak pengguna jalan raya terjejas dengan kejadian itu.

Menurutnya, operasi pemadaman akan terus dilakukan jika pasukan rondaan melihat kejadian kebakaran tanpa menunggu aduan awam.

“Kita ambil tindakan proaktif dengan melakukan rondaan dan memberi keutamaan kepada kebakaran belukar di tepi jalan kerana asap kebakaran itu dikhuatiri akan menjejaskan lalu lintas sekali gus menyebabkan pengguna jalan raya dalam situasi bahaya.

"Dalam keadaan cuaca panas sekarang, saya nasihatkan penduduk atau mana-mana pihak supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana dikhuatiri ia akan menjejaskan kehidupan masyarakat sekitar,” katanya.


0 comments:

share2