Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 26, 2016

[TEMERLOH] TIGA SUSPEK TEMBAK PEMUDA DI DEPAN BANK


Tiga suspek tembak pemuda di depan bank


Tiga suspek yang menembak seorang pemuda di hadapan sebuah bank di Jalan Ahmad Shah malam semalam cuba melakukan samun ke atas satu pasangan yang menaiki sebuah kereta beberapa minit sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, cubaan kali pertama itu dilakukan tidak jauh dari lokasi kejadian tembak di hadapan bank itu tetapi pasangan terbabit berjaya melarikan diri.

Menurutnya, ketiga-tiga penjenayah yang gagal melakukan samun ke atas pasangan itu kemudian cuba menyamun pemuda di hadapan sebuah bank dan melepaskan tembakan yang mengenai perut sebelah kanan dan bahu kiri.

Pasukan polis dikerahkan mengepung lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan daripada mangsa yang datang sendiri ke balai polis dalam keadaan berlumuran darah, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Anuar berkata, mangsa yang berbadan besar ditembak dengan tiga das tembakan kerana cuba melawan tetapi hanya dua mengenai tubuh mangsa.

Menurutnya, mangsa kemudian cuba mengejar kesemua suspek tetapi gagal dan terus memandu keretanya menuju ke balai polis membuat repot sebelum dihantar ke hospital oleh polis.

Anuar berkata, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di beberapa lokasi untuk memburu ketiga-tiga suspek yang masih bebas.

Polis menemui tiga kelonsong peluru dan dua peluru hidup di lokasi kejadian tetapi tidak mengenal pasti kenderaan yang dinaiki suspek, katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan di dalam melakukan samun.


0 comments:

share2