Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 28, 2016

[BERA] POLIS TERIMA ENAM KAMERA BADAN


Polis terima enam kamera badan


Unit Ronda Bermotosikal (URB), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera dibekalkan enam unit ‘bodycam’ (kamera badan) bagi melancarkan tugas rondaan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, penggunaan alat itu bertujuan melindungi keselamatan anggota semasa bertugas selain meningkatkan integriti mereka kepada masyarakat.

Menurutnya, alat itu bukan sahaja memberi manfaat kepada anggota tetapi juga masyarakat kerana rakamannya boleh dijadikan bahan bukti sekiranya terdapat aduan berhubung salah laku anggota.

“Bodycam itu boleh merakam imej dan suara pada jarak 50 meter dan menerusi rakaman itu, kita boleh ketahui situasi sebenar kejadian sekali gus mempercepatkan siasatan.

“Rakaman itu juga boleh menjadi bahan bukti membantu pihak polis sekiranya penjenayah yang ditangkap dihadapkan ke mahkamah,” katanya di sini, kelmarin.

Beliau berkata, kamera itu mampu merakam visual dan audio selama lapan jam dan dilengkapi memori 400GB.

“Kita akan memperluas penggunaannya pada masa akan datang bagi membantu meningkatkan usaha polis mengekang jenayah.

“Setiap rakaman ketika anggota melakukan tugasan akan dipindahkan ke komputer bagi tujuan rujukan sekiranya terdapat aduan terhadap anggota,” katanya.

Mohd Rosli berkata, semua rekod akan dipantau penyelia untuk penambahbaikan ketika penugasan sekiranya perlu.

“Daripada rakaman ini juga, kita dapat menangkis persepsi negatif masyarakat terhadap anggota semasa melakukan tugasan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan orang ramai yang akan meninggalkan kediaman untuk bercuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina memaklumkan kepada polis dengan mengisi Borang Balik Kampung yang disediakan di balai polis berdekatan.

“Selain itu, mereka juga perlu memaklumkan kepada jiran mengenai ketiadaan di rumah.

“Saya minta orang ramai jadi mata dan telinga pihak polis untuk sama-sama banteras jenayah, dan ini akan membantu menurunkan kadar jenayah di daerah ini,” kata beliau.


0 comments:

share2