Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 26, 2015

[KUANTAN] SAMPAH PUNCA LONGKANG TERSEKAT


Sampah punca longkang tersekat


Tabiat segelintir masyarakat yang membuang sampah sesuka hati ke dalam sistem perparitan dan anak sungai antara faktor dikenal pasti menyumbang kepada masalah aliran longkang utama di sekitar bandar Kuantan.

Keadaan diburukkan lagi dengan pembuangan sisa jualan oleh peniaga sehingga menyebabkan ada longkang dan lubang pembetung tersumbat dan menyekat aliran air sehingga bertakung.

Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuantan, Sumiliana Sulong berkata, ekoran sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat itu, proses pembersihan dan penyelenggaraan sistem perparitan terutama Parit Monsun perlu dilakukan secara berterusan.

Menurutnya, secara keseluruhannya, keadaan sistem perparitan dan saliran di bandar ini berada dalam keadaan baik selepas kerja-kerja menaik taraf dijalankan sebelum ini.

“Pihak JPS sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan sistem perparitan sentiasa berada dalam keadaan sempurna bebas daripada sebarang halangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sumiliana Sulong berkata, atas kesedaran itu, JPS mengadakan program pembersihan parit monsun melibatkan kakitangan jabatan selama tiga hari, kelmarin.

Menurutnya, tumpuan diberikan kepada parit-parit monsun sekitar bandar Kuantan yang dikenal pasti berlaku halangan aliran untuk kerja-kerja pembersihan.

“Gotong-royong di peringkat jabatan hanya melibatkan pembersihan ringan seperti membersihkan sampah sarap, kelodak, pokok-pokok dan halangan pada pembetung yang boleh menyebabkan aliran tersekat.

“Tapi agak menyedihkan, selepas kerja-kerja pembersihan dijalankan, ada pihak yang tiada kesedaran sivik masih membuang sampah ke dalam longkang,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai khususnya peniaga diminta menggunakan kemudahan tong sampah yang disediakan dan bukannya mengambil jalan mudah membuangnya di tepi-tepi longkang.

“Sikap segelintir pihak tidak bertanggungjawab ini akan menyusahkan banyak pihak kerana aliran longkang yang tersumbat boleh menyumbang kepada berlakunya pencemaran air, banjir kilat, pembiakan nyamuk, dan haiwan berbisa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerja-kerja membaiki dan menyelenggara longkang utama termasuk sungai akan diteruskan bagi memastikan aliran lancar terutama bagi menghadapi musim banjir penghujung tahun ini.

“JPS sudah mengeluarkan surat sebut harga kepada kontraktor untuk projek penyelenggaraan itu," katanya.

0 comments:

share2