Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 10, 2015

MENTAKAB: MOHON MUIP LULUS SOLAT JUMAAT


Mohon Muip lulus solat Jumaat


Lebih 200 jemaah Surau Al-Ikhwan Taman Seri Layang merayu pihak berkuasa agama negeri meluluskan permohonan untuk mendirikan solat Jumaat di surau perumahan tersebut bagi menampung jumlah pertambahan penduduk di kawasan tersebut.

Pengerusi Badan Kebajikan Penduduk Islam dan Surau Taman Seri Layang, Rosli Ismail berkata, rayuan itu berikutan Masjid Taman Saga berhampiran perumahan berkenaan tidak mampu lagi menampung jumlah jemaah yang semakin ramai.

Malah katanya, akibat ketiadaan ruang solat ramai dalam kalangan belia khususnya penduduk dari Taman Rimba, Rimba Permai, Saga, Saga Indah dan Seri Layang tidak dapat bersama menunaikan solat Jumaat setiap minggu.

“Ini adalah fakta, sebab itu kami merayu supaya surau kami di Taman Seri Layang ini diluluskan untuk kami solat Jumaat. Kami bukan mohon peruntukan tetapi hanya mohon kelulusan.

“Segala syarat yang ditetapkan telah kami ikuti termasuk memohon untuk digazetkan tanah surau terbabit di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip),” katanya semalam.

Rosli berkata, pihaknya memohon untuk tujuan itu pada 3 November 2012 dan pegawai Muip sendiri telah datang memeriksa dan melihat keadaan surau.

“Waktu itu mereka mahu temuduga pegawai surau, tetapi selepas itu sehingga kini langsung tidak ada sebarang berita,” katanya.

Rosli berkata, surau Al-Ikhwan digunakan setiap hari dengan pelbagai aktiviti dan kuliah agama tiga kali seminggu.

“Kami dirikan surau ini dengan bantuan orang ramai termasuk bina menara melalui hasil kutipan derma, setakat ini kami yakin mampu menepati syarat ditetapkan Muip.

“Kami harap dapat mendirikan solat Jumaat di surau ini dalam masa terdekat memandangkan masjid sedia ada sekarang terlalu padat dan ada Jemaah yang tidak dapat solat akibat ketiadaan ruang,” katanya.

0 comments:

share2