Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, March 19, 2017

[ROMPIN] DIGELAR GEMOK KERANA TANJUNG


Digelar gemok kerana tanjung


Tanjung Gemok tidak asing lagi terutama bagi penduduk di daerah Rompin dan pelancong luar yang pernah ke Pulau Tioman memandangkan di situ terletaknya terminal jeti pelancongan ke pulau peranginan itu.

Kedudukannya di selatan daerah Rompin, Tanjung Gemok adalah pekan bersempadan dengan Endau, Johor yang dipisahkan oleh Sungai Endau.

Ia dibuka sekitar tahun 60an dan pada mulanya penempatan itu mempunyai sebuah kampung tradisional Melayu dikenali sebagai Kampung Teluk Gading yang dihuni empat hingga lima keluarga sahaja.

Adat masyarakat pesisir sungai, jika ada teluk sudah tentu ada tanjungnya, dan begitulah asal usul nama Tanjung Gemok.

Seorang penduduk, Ahmad Mat Taha, 89, berkata, sebelum penempatan itu dibuka, Tanjung Gemok hanya kawasan hutan tanpa penduduk dan tiada jalan utama melainkan laluan di pesisir pantai untuk ke Kuala Rompin atau Pekan.

“Kalau ikut ceritanya, nama Tanjung Gemok ini sempena keadaan tanjung yang besar di pinggir sungai Endau namun saiz yang besar itu digelar gemok.

“Jika dilihat dari atas atau dari Endau, akan nampak bentuk tanjung ini yang sekarang terletaknya jambatan untuk menyeberang ke Endau, memang besar atau panjang jaraknya,” katanya.

Terdiri daripada beberapa kampung kecil seperti Kampung Teluk Gading, Selancar, Mempisang dan Merbau, kawasan itu tidak ketinggalan daripada menikmati arus pembangunan.

Terletak di pinggir pantai Laut Cina Selatan yang terbentang luas, Tanjung Gemok juga kaya dengan kisah penduduk awal berperang dengan lanun ketika era sebelum zaman penjajahan Jepun.

Kumpulan lanun dikatakan masuk melalui kuala Sungai Endau untuk merompak, bagaimanapun mereka berundur setelah tewas dengan tentangan kumpulan penduduk yang bersenjatakan tombak dan meriam ketika itu.

Ahmad berkata, ketika itu Kampung Pianggu merupakan penempatan awal yang ramai penduduk dan sebahagian penduduk Tanjung Gemok kini kebanyakannya adalah waris daripada penduduk kampung itu yang telah berhijrah.

“Tapi sekarang lebih ramai generasi baharu menetap di sini. Hanya sebahagian kecil orang asal, selebihnya mereka yang asalnya bekerja dan terus menetap di sini,” katanya.

Kenangan membesar di Kampung Tanjung Gemok tidak dapat dilupakan oleh Noor Azhar Abu Bakar, 54, terutamanya ketika zaman persekolahan.

Katanya, ketika itu dia perlu menyeberangi Sungai Endau dengan menaiki feri untuk ke sekolah.

Dia yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Ungku Husin pada 1974 hingga 1976 berkata, feri yang ditarik dengan bot itu menjadi pengangkutan utama kerana ketika itu belum ada jambatan.

“Kenderaan nak menyeberang pun kena naik feri termasuk bas dan ia menjadi pengangkutan awam utama untuk menyeberang dari jam 7 pagi sampai 12 tengah malam setiap hari, secara percuma,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Tanjung Gemok, Mohd Zaker Awang berkata, selain kedudukannya di sempadan Johor dan menjadi pintu masuk ke Pulau Tioman, kisah feri Sungai Endau merupakan antara yang menjadi tarikan.

Menurutnya, terdapat gambar kenangan yang disimpan kebanyakan penduduk bagi mengingatkan bahawa feri begitu berguna ketika itu.

“Kadang ada gambar lama feri orang kongsi di media sosial, teringat saya pada zaman itu, saya sendiri ada simpan dalam telefon bimbit, jadi bukti apabila bercerita dengan anak cucu,” katanya.


0 comments:

share2