Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 12, 2015

KUANTAN : 4 HEKTAR BELUKAR TERBAKAR

Empat hektar belukar terbakar


Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuantan berjaya memadam kebakaran hutan belukar seluas kira-kira empat hektar berhampiran Kampung Pahang, Sungai Soi di sini.

Kebakaran mula dikesan sejak semalam dan berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan hutan lain, selepas lima jam operasi tersebut dijalankan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Razali Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran itu kira-kira jam 1.28 tengah hari. 

Katanya, sebaik sahaja menerima laporan, seramai 15 anggota bersama tiga jentera telah diarahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, api dilihat mula marak membabitkan hampir empat hektar hutan belukar di kawasan tersebut.

“Keadaan asap tebal dan jarak penglihatan terhad, namun kerja-kerja pemadaman api terus dilakukan bagi mengelak daripada terus merebak.

“Kebakaran dapat dikawal kira-kira lima jam kemudian namun kita mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan api padam sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Razali memberitahu kebakaran dipercayai berpunca dari sikap penduduk yang membakar sampah secara terbuka sehingga menyebabkan kebakaran hutan belukar itu.

“Daripada pembakaran sampah boleh merebak ke hutan belukar memandangkan pada waktu ini cuaca panas dan kering memudahkan api merebak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar masyarakat di negeri ini tidak menjalankan aktiviti pembakaran terbuka membabitkan pembakaran lalang, kebun dan semak samun serta sampah sarap.

“Jika ingin lakukan juga, pastikan ada orang yang memantau api tersebut dan memadamkannya jika dilihat merebak ke kawasan berdekatan. Kita bimbang keadaan itu akan bertambah buruk jika merebak kepada ke kawasan premis atau hutan yang berdekatan,” katanya.

Razali berkata, pengguna jalan raya juga diingatkan agar tidak membuang puntung rokok di merata-rata tempat kerana ia boleh menjadi punca kebakaran lalang dan semak berdekatan jalan.

Katanya, sikap ambil mudah tersebut menimbulkan masalah kepada orang ramai terutamanya apabila api tersebut merebak ke kawasan rumah berdekatan seterusnya mampu membahayakan nyawa orang lain.



0 comments:

share2