Dua lelaki yang dicurigai telah ditahan di kawasan saluran paip gas ladang Felda Keratong 5, di sini, dalam Ops Sarang yang dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata, penahanan kedua suspek berusia 30-an itu membawa kepada penemuan sepeket dadah.
“Ops Sarang yang dilakukan adalah hasil maklumat orang awam. Kedua-dua suspek telah ditahan sekitar jam 4 petang semalam (kelmarin) dan soal siasat serta pemeriksaan di sekitar lokasi mereka ditangkap turut dilakukan sambil diperhatikan oleh suspek.
“Setelah beberapa ketika pemeriksaan dilakukan akhirnya membawa kepada penemuan satu beg pinggang bewarna hitam berada di atas tanah yang mengandungi 479.46 gram serbuk keputihan dipercayai dadah berbahaya jenis heroin,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Johari, sebuah motosikal jenama Honda turut dirampas, manakala kedua suspek dan kesemua barang kes telah dirampas untuk tindakan lanjut.
“Saringan awal air kencing yang dilakukan ke atas kedua-dua suspek juga mendapati positif dadah dan suspek juga mempunyai beberapa rekod jenayah lampau,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952.
0 comments:
Post a Comment