Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 19, 2015

KUANTAN : BEKALAN GAS MEMASAK TERPUTUS

Bekalan gas memasak terputus


Peniaga sekitar daerah ini mendakwa terputus bekalan gas memasak sejak tiga minggu lalu yang mengakibatkan pengguna terpaksa mencari bekalan di kawasan lain.

Pekerja kedai runcit, Aishah Abdullah, 41 berkata, kekurangan bekalan gas memasak di sekitar Indera Mahkota 2 terputus sejak tiga minggu lalu.

Menurutnya, dia sendiri tidak pasti masalah yang berlaku ini kerana bekalan gas memasak tersebut biasanya dihantar oleh pengedar terus ke kedai.

“Walaupun harga naik sedikit, pengguna masih mahu membeli kerana tiada pilihan. Bagaimanapun terpaksa mencari di tempat lain apabila kebayakan kedai mengalami masalah yang sama,” katanya.

Harga gas memasak 14 kilogram kini dijual RM29 setong berbanding RM28 sebelum ini, manakala bagi tong 12kg pula dijual RM25 setong.

Namun, bagi peniaga Wan Safiee Wan Ali, 60, dia hanya mengalami kekurangan bekalan sejak seminggu lalu dan berharap agar tidak terus berlanjutan.

Menurutnya, sebelum ini kedainya masih mempunyai bekalan walaupun pada masa yang sama kedai-kedai berhampiran sudah terputus beberapa minggu.

“Sebelum ini pengedar masih menghantar bekalan seperti biasa, tetapi sejak seminggu lalu, bekalan turut terputus menyebabkan ramai yang tercari-cari bekalan gas memasak di sini,” katanya.

Wan Safiee berkata, selama lapan tahun berniaga kedai runcit di Indera Mahkota 2 di sini, ini kali pertama dia berdepan dengan masalah tersebut.

Di samping itu juga, dia masih menjual harga dengan harga yang lebih murah iaitu RM24 bagi tong 12kg, manakala RM26.50 untuk tong 14kg.

Peniaga, K. Ramachandan berkata, kekurangan gas memasak ini bukan disebabkan oleh kekurangan bekalan, tetapi jumlah bekalan telah dikawal oleh pihak atasan.

Menurutnya, dia juga tidak faham kenapa bekalan ini dikawal sedangkan permintaan semakin tinggi.

Selain itu, harga yang dijual juga terpaksa dinaikkan sehingga RM2 kerana harga yang dibeli dari pemborong juga tinggi.

“Kekurangan bekalan dan harga tinggi ini baru sahaja berlaku sejak seminggu lalu, tetapi melibatkan ramai pengguna yang terasa akan perbezaan ketara ini.

“Mahu atau tidak saya terpaksa jual RM27 untuk tong 12kg berbanding RM25 sebelum ini, manakala RM30 untuk tong 14kg berbanding RM28.80.

“Ada juga yang mengatakan masalah ini akan selesai pada April ini selepas cukai barang dan pendapatan (GST) dilaksanakan,” katanya yang tidak pasti dengan kesahihan berita tersebut.



0 comments:

share2