Pegawai Seranta Felda bakal berdepan tindakan tegas termasuk dipecat sekiranya didapati cuba menyeleweng kuasa dengan menghasut rakyat membenci kerajaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, namun setakat ini tiada lagi laporan yang diterima membabitkan salah laku pegawai seranta yang dilantik.
Menurutnya, pihak Felda sentiasa memantau dan memastikan semua pegawai seranta menjalankan tanggungjawab dengan amanah dan bersungguh-sungguh.
“Semua pegawai seranta Felda perlu memastikan semua warga Felda memahami dasar kerajaan dan tidak mudah dihasut oleh mana-mana pihak.
“Saya berharap pegawai yang dilantik dapat menjalankan tugas menarik sokongan masyarakat peneroka supaya bersama-sama kerajaan yang akan menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) semua mereka,” katanya pada Majlis Perasmian Pejabat Seranta (Felda) Jabatan Perdana Menteri Wilayah, di sini.
Hadir sama, Adun Chenor, Mohamed Ariffin Ismail, Adun Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail, Timbalan Pengarah Kanan Seranta Felda, Jabatan Perdana Menteri, Rosdin Abas dan Ketua Seranta Wilayah Jengka, Datuk Khatijah Mohamad Said.
Ismail berkata, Unit Seranta Felda yang ditubuhkan pada 1981 bertujuan memelihara hubungan baik antara kerajaan dan organisasi berkaitan serta memantau sosiopolitik warga Felda di seluruh negara.
Menurutnya, pada masa ini terdapat kira-kira 169 pegawai seranta di seluruh negara dengan 35 di Pahang melibatkan Felda Wilayah Kuantan, Mempaga dan Jengka.
“Selain melaksanakan tanggungjawab dengan jujur pegawai seranta juga perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan bagi mendekati masyarakat setempat.
“Berdasarkan rekod semasa, 70 peratus warga Felda memberi sokongan kepada kerajaan BN,” katanya.
0 comments:
Post a Comment