Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 19, 2015

RAUB : TERKILAN 8 HARI TAK TERIMA AIR BERSIH

Terkilan 8 hari tidak terima air bersih


Penduduk Kampung Sungai Rambai terkilan apabila selama lapan hari ketiadaan air, tidak pernah sekali pun mereka menerima bekalan air bersih dari lori tangki yang membuat penghantaran air.

Penduduk, Hasmah Harun, 41, berkata, lebih mengelirukan, lori tangki air itu ada melalui hadapan rumah Hasmah dan jirannya, namun tidak mengisi air ke dalam tong biru yang diletakkan di hadapan rumah.

Menurutnya, malah sejak hari pertama ketiadaan air, suaminya tanpa putus-putus menghubungi pihak Pengurusan Air Paip Berhad (Paip) agar datang menghulurkan bekalan air bersih kepada mereka.

“Sekitar 20 hingga 30 penduduk terima nasib sama, dan saya mewakili penduduk kampung berharap perkara ini tidak dipandang remeh oleh pihak bertanggungjawab.

“Lebih membuatkan kami terkilan apabila melihat lori tangki yang membawa bekalan air bersih lalu di hadapan rumah, tetapi tidak mengisi air ke dalam tong disediakan,” katanya.

Hasmah berkata, sebaliknya lori terbabit dikatakan mengisi air di tong-tong besar berwarna hitam yang dikatakan disewa penduduk sejak ketiadaan air.

Menurutnya, pernah dia dan jiran menahan lori tangki air yang lalu di hadapan rumah dan pemandu memberikan isyarat supaya mereka tunggu. Namun sehingga malam malah keesokannya, tiada juga lori tangki yang datang menghulurkan bekalan air.

“Kami faham keadaan pihak terbabit yang kekurangan lori tangki untuk membekalkan air di seluruh daerah, namun sekurang-kurang kami harap kami dibekalkan air bersih selang dua atau tiga hari sekali.

“Namun sepanjang seminggu ini, tidak pernah sekali pun mereka bekalkan air bersih kepada kami, sehingga saya bertindak mendapatkan bekalan air dari jiran yang berada di kawasan rendah yang tidak mempunyai masalah air,” katanya.

Katanya lagi, penduduk hanya memerlukan air untuk minum dan masak, sebaliknya mereka akan menggunakan air sungai untuk mandi.

“Sekiranya dibekalkan air selang dua atau tiga hari, kami boleh berjimat cermat menggunakan air hanya untuk makan dan minum. 

“Kami tidak boleh menggunakan air sungai untuk makan dan minum memandangkan keadaan air sangat keruh dan bimbang mendatangkan penyakit berbahaya,” katanya.

Hasmah dalam pada itu memberitahu, masalah air yang melanda kampung terbabit bukanlah perkara baru, malah penduduk sudah memahami dan menerima kenyataan setiap kali berlaku masalah air.

Katanya lagi, malam kelmarin kelihatan bekalan air paip kembali pulih dan mereka sempat menadah air untuk disimpan sebelum ia kembali putus petang semalam.

Sementara itu Pengurus Paip Daerah, Azeri Abdul Aziz berkata, pihaknya memang ada membuat penghantaran bekalan air bersih menggunakan lori tangki di kawasan Kampung Sungai Rambai, Kampung Sain dan sekitar.

Katanya, kemungkinan penduduk tidak mendapat bekalan air kerana ketiadaan tong-tong air diletakkan di hadapan rumah mereka, bagaimanapun siasatan lanjut berkaitan perkara itu akan dilakukan.



0 comments:

share2