Enam keluarga di Kampung Kurnia, di sini, terpaksa berpindah buat kali kedua apabila kawasan rumah mereka mula dinaiki air pada tengah malam tadi (semalam) selepas hujan tidak henti sejak petang Rabu lalu.
Menurut Asiah Hassan, 43, air yang naik kali ini lebih tinggi berbanding banjir pada akhir Disember tahun lalu yang menyebabkan mereka dipindahkan ke lokasi yang sama iaitu di pusat pemindahan sementara Dewan Teluk Gading, di sini.
“Nasib baik rumah kami tinggi kerana bertiang, jadi banjir baru-baru ini hanya paras anak tangga ketiga, jadi tiada yang perlu dicuci dalam rumah. Banjir kali ini masih tidak pasti kerana air lebih tinggi sebab pagi tadi (semalam) air sudah paras anak tangga ketujuh hampir paras lantai.
“Kami dipindahkan oleh bomba yang datang menaiki bot. Banjir Disember tahun 2013 air lagi tinggi paras kerana sudah mencecah tingkap rumah,” katanya kepada Sinar Harian.
Suaminya, Yusuf Ismail, 77, berkata, hujan sangat lebat sejak malam tadi (kelmarin) setelah dua hari dua malam tidak berhenti.
“Saya terpaksa menghantar motosikal ke tempat yang lebih tinggi selepas air mula naik di kawasan sekeliling rumah awal pagi tadi (semalam).
“Saya agak bimbang dengan keselamatan kami sekeluarga dan rumah kerana arus air kelihatan agak deras. Saya harap rumah kami akan berada dalam keadaan baik selepas banjir surut nanti,” katanya.
Sementara itu, Pusat Media Bencana Pejabat Jabatan Penerangan Rompin yang dihubungi Sinar Harian memaklumkan setakat jam 12 tengah hari semalam, dua pusat pemindahan sementara telah dibuka iaitu di Dewan Teluk Gading dan Sekolah Kebangsaan (SK)
Janglau.
“Jumlah mangsa yang ramai setakat ini dicatatkan di Dewan Teluk Gading iaitu seramai 196 mangsa melibat 50 keluarga manakala di SK Janglau pula 24 mangsa yang melibatkan 5 keluarga.
“Jumlah keseluruhan mangsa setakat jam 12 tengah hari tadi (semalam) seramai 220 orang dari 55 keluarga dan jumlah ini dijangka meningkat kerana hujan masih tidak berhenti,” katanya.
0 comments:
Post a Comment