Taman PAKR Kerayong Indah antara kawasan taman perumahan terlibat bencana bah apabila 100 peratus rumah di sini dinaiki air sekurang-kurangnya sedalam satu meter menyebabkan penduduk mengalami kerugian besar.
Bagaimanapun, hampir 300 keluarga di sini masih belum mentaksirkan kerugian masing-masing kerana masih dalam proses pembersihan rumah dan ada yang masih belum pulang ke rumah.
Seorang penduduk, Mohd Ali Sitih, 47 berkata, penduduk di sini teragak-agak untuk berpindah ke pusat pemindahan walaupun pada ketika itu diramalkan kawasan tersebut akan dinaiki air, namun tetap melakukan persediaan dengan memindahkan barangan elektrik ke Dewan Majlis Daerah Bera (MDB).
Menurutnya, pihak MDB membenarkan penduduk meletakkan barangan elektrik di dewan itu bagi membantu mereka mengurangkan kerugian sekiranya rumah mereka dinaiki air.
“Mujur kami sempat pindahkan barangan elektrik, tetapi semua perabot habis rosak. Selama 10 hari semua perabot dan peralatan berendam dalam air banjir dan tiada apa yang boleh diselamatkan.
“Sekurang-kurangnya tiga hari diperlukan untuk bersihkan rumah ini dari selut dan lumpur dan pakaian terpaksa dibasuh berulang kali sebab bau busuk tak boleh hilang,” katanya.
Bagi Maizun Wan Ahmad, 34, kejadian bah kali ni benar-benar memberi tekanan kepada mereka apabila semua perabot termasuk tilam terpaksa dibuang kecuali barangan elektrik.
“Bila air surut, saya dan suami nekad untuk lihat keadaan rumah dan hanya mampu memandang keadaan rumah yang tunggang langgang, barang yang diletakkan di tempat tinggi pun rebah.
“Semua barang rosak dilonggokkan di depan rumah sebab dah tak boleh guna,” katanya.
Bagaimanapun, penduduk bersyukur kerana bantuan makanan dan keperluan harian mencukupi malah hampir setiap hari, bantuan disalurkan dari rumah ke rumah oleh pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) sama ada di dalam mahupun dari luar daerah.
Dalam pada itu, Umno Bahagian Bera bersama sukarelawan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang turut disertai Pengerusinya, Datuk Samsol Bari Jamali mengagihkan bantuan kepada penduduk di sini.
0 comments:
Post a Comment