Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 8, 2015

MARAN : BUKAN MUDAH BANGUN SEMULA

Gambar hiasan


Sekurang-kurangnya tempoh sebulan diperlukan untuk membersih kembali keseluruhan kawasan Maran yang terjejas akibat banjir, kata ahli Parlimennya, Datuk Seri Ismail Ab Muttalib.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, ia turut memerlukan langkah pemulihan infrastruktur dan bangunan rosak yang memerlukan masa lebih
lama.

"Kita akui tidak mudah untuk penduduk bangun semula walaupun dengan segala bantuan yang disalurkan," katanya pada majlis 'Operasi Pembersihan Prihatin' di Chenor di sini hari ini.

Ismail berkata, satu jawatankuasa khas pemulihan telah ditubuhkan untuk merancang, mengatur jadual kerja pembersihan dan pengagihan bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak.

Katanya lebih banyak sukarelawan turut diperlukan untuk membantu penduduk di pasca banjir.

"Bukan sekadar untuk membersihkan rumah, namun kita turut memerlukan mereka yang berkemahiran seperti juruteknik dan pegawai perubatan.

"Kita juga memerlukan pakar motivasi bagi membantu memulihkan semangat segelintir mangsa banjir yang trauma apabila melihat kerosakan rumah mereka," tambah Ismail.

Beliau berkata, pihaknya belum dapat menganggar jumlah kerugian harta benda yang dialami di Maran memandangkan terdapat penduduk yang baru saja dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Namun penilaian terhadap jumlah kerugian akan dilakukan segera bagi membolehkan bantuan disalurkan secepat mungkin,” katanya.

Dalam operasi berkenaan lebih 200 sukarelawan daripada pelbagai agensi Kementerian Sumber Manusia, badan bukan kerajaan dan orang awam membantu membersihkan klinik kesihatan, dewan orang ramai dan kawasan perkampungan. 






0 comments:

share2