Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 8, 2015

TEMERLOH : PEMILIK PASARAYA RUGI TERUK


Pekerja pasar raya Cowboy Temerloh membersihkan premis tersebut selepas air mulai surut
dua hari lalu


Pemilik pasar raya Cowboy di sini, kecewa dengan tindakan segelintir mangsa banjir yang melarikan barangan berharga sehingga menambahkan lagi kerugian syarikat sepanjang tempoh banjir baru-baru ini.

Pengurus Cowboy Temerloh, Teoh Hong Kean berkata, barangan yang dilarikan bukan makanan sebaliknya peralatan elektrik, mesin-mesin pertukangan dan semua barangan berharga yang dijual di pasar raya itu.

Menurutnya, memang ada barangan makanan yang dilarikan tetapi lebih banyak barangan lain yang jauh lebih berharga seperti periuk nasi elektrik bersaiz besar, mesin-mesin dan peralatan elektrik.

“Kejadian ini berlaku sejak hari pertama pasar raya kami dinaiki air sedalam 0.6 meter hingga paras air sedalam tiga meter.

“Mereka menggunakan bot memecah pintu masuk utama semua yang terlibat berebut-rebut melarikan harta kami.

“Pernah satu hari saya cuba larang tetapi mereka halau saya pulang dan mendakwa pemilik pasar raya membenarkan tindakan mereka itu,” katanya.

Hong Kean berkata, kejadian disedari pada Sabtu minggu lalu ketika dia bersama anaknya mengharungi air untuk melihat keadaan di pasar raya miliknya.

Menurutnya, ketika itu sudah berduyun-duyun mangsa banjir yang keluar masuk melarikan barangan berharga milik pasar rayanya.

“Saya hubungi polis tempatan hingga ke Bukit Aman namun kecewa kerana polis juga gagal mengawal pencuri yang memecah masuk premis saya tidak kira waktu siang atau malam,” katanya.

Beliau berkata, dia tidak dapat menilai kerugian dialami akibat banjir dan perbuatan memecah masuk premisnya tetapi barangan yang ada di premisnya sebelum banjir lebih daripada RM1 juta.

Menurutnya, kerosakan disebabkan banjir sekitar 70 peratus ditambah dengan kerugian akibat barangan dilarikan pencuri bermakna pihaknya rugi 100 peratus.

“Yang tinggal sekarang barangan yang ditempatkan di bahagian atas tetapi kebanyakan barangan itu kurang laku, ini banjir terburuk dan kejadian paling teruk dialami sejak premis ini dibuka 10 tahun lalu.

“Saya sudah buat laporan polis mengenai kejadian ini dan mempunyai bukti rakaman video pencuri melarikan barangan milik syarikat kami,” katanya.




0 comments:

share2