Kuala Lipis - Sebanyak 14,000 unit kediaman siap dibina di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang setakat ini dan kerajaan negeri menyasarkan untuk membina 50,000 unit lagi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Pahang, Datuk Wan Mohd Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya menyasarkan 15,000 unit rumah PR1MA mampu milik akan siap dibina menjelang akhir tahun ini di seluruh negeri.
"Kita menyediakan 29 tapak untuk projek tersebut dan kerajaan negeri yakin pembinaan kediaman yang selesa dengan harga berpatutan untuk rakyat akan siap mengikut jadual," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Wan Mohd Rosdy berkata bagi daerah Cameron Highlands projek PR1MA yang akan dilaksanakan di daerah itu adalah kediaman pangsapuri membabitkan kos RM150,000 hingga RM300,000 seunit.
"Projek PR1MA di Cameron Highlands adalah kediaman pangsapuri memandangkan tidak ada keluasan tapak minima selain kepadatan penduduk dan kegunaan tanah untuk pertanian komersial," katanya.
Beliau bagaimanapun yakin penduduk di kawasan itu mampu membiayainya kerana kediaman PR1MA berasaskan harga yang masih relevan berbanding projek sama oleh pemaju swasta di Cameron Highlands yang dijual dengan harga yang amat tinggi.
Katanya projek PR1MA adalah antara manifestasi kerajaan negeri untuk penduduk dan isi rumah yang berpendapatan bawah RM5,000 dan telah bermastautin di Pahang melebihi lima tahun, layak membuat permohonan membeli rumah berkenaan.
0 comments:
Post a Comment