Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 17, 2014

MOHAMAD BONGKAR PORT KOMUNIS


Mohamad bongkar port komunis

Meskipun diletakkan di barisan hadapan ketika melakukan operasi ketenteraan namun tiada gentar bagi Pegawai Waran II (B) Mohamad Yasin, 81, dalam menentang komunis antara 1953 dan 1960an.

Mohamad menyertai latihan rekrut Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1952 di Port Dickson. Setelah tamat latihan, beliau yang berpangkat prebet bertugas di Batalion 1 RAMD diarahkan mengawasi sekitar kawasan Muar daripada ancaman komunis.

“Masih ingat lagi peristiwa pakcik bersama 15 tentera menjalankan operasi ketenteraan di Batu 28, Muar.

“Ketika itu, kami menaiki trak tentera untuk masuk ke dalam hutan sebelum trak berkenaan tiba-tiba terbabas dan terbalik ke dalam paya,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan cemas itu, mereka tidak menyedari lapan komunis sedang memerhatikan gerak-geri mereka dalam jarak 100 meter. Namun komunis itu tidak serangan, sebaliknya menyerah diri di balai polis Muar.

Hidup sukar di estet

Mohamad yang kini menetap di Felda Sungai Koyan, Raub, Pahang menceritakan pengalaman paling sukar ketika bertugas di kawasan estet di Pagoh, Johor. Bekalan makanan dan minuman dihantar melalui trak tentera dari Muar dan ini memakan masa lama.

“Sekiranya bekalan air minuman terputus, kami terpaksa mencari alternatif lain termasuk minum air hujan dan mandi di kawasan paya.

"Kami terpaksa mengawasi antara satu sama lain kerana komunis ada di merata-rata tempat ketika itu," katanya.

Pada 1955, Mohamad berpindah ke Kuala Kangsar, Perak dan diletakkan di barisan hadapan dalam operasi ketenteraan. Pengalaman bertugas di Estet Lentang, Sungai Siput Utara adalah antara paling mencabar kerana kawasan tersebut merbahaya sehinggakan tentera Gurkha tidak berani masuk.

“Pakcik dan sembilan anggota dalam Kompeni A Batalion 1 RAMD ditugaskan di kawasan tersebut. Ketika kami berjalan di dalam, tiba-tiba hujan panas turun.

“Mengikut firasat orang tua, hujan panas adalah petanda tidak baik. Namun dek perjuangan kami meneruskan operasi untuk masuk ke dalam hutan,” katanya.

Mohamad berkata, sewaktu berada di barisan hadapan, tiba-tiba dia terpandang kelibat lembaga sedang berlari dengan pantas dan hilang sekelip mata. Tiba-tiba beliau rasa tidak sedap hati, namun pegawai bersamanya menyatakan 'lembaga' berkenaan hanya seekor khinzir. Mungkin kata-kata itu hanya menyedapkan hati mereka.

“Kami meneruskan perjalanan. Dalam jarak 50 meter tiba-tiba kami terbau asap. Kami mengesan bau asap berkenaan dan berjaya menemui dua tin minyak tanah yang tergantung.
“Kami menyorok di sebalik pokok serta busut dan tidak berapa lama kemudian muncul dua pengganas komunis,” katanya.

Berjauhan keluarga

Mohamad berkata, ketika komunis berkenaan membelakanginya, dia tekad melepaskan tembakan.

“Nasib tidak menyebelahi pakcik kerana tembakan berkenaan tidak mengenai sasaran dan komunis berkenaan berjaya melarikan diri serta hanya meninggalkan dua laras senapang.

“Kami merampas dua laras senapang berkenaan dan segera meminta bantuan dari pasukan lain untuk mengesan saki baki komunis terbabit.

“Kami meneruskan usaha menjejak komunis dan ketika berjalan sekitar 150 meter ke hadapan kami berjaya membongkar kawasan simpanan makanan musuh,” katanya.

Selain terpaksa berhadapan pelbagai kesukaran menjalani operasi, pastinya berjauhan dengan keluarga merupakan saat paling mencabar buat Mohamad.

Bagi tentera, berpindah-randah merupakan satu kelaziman, begitu juga buat Mohamad. Namun semua ini tidak dapat dibandingkan dengan terpaksa berhari raya di tengah hutan, jauh daripada keluarga tercinta.

“Pakcik boleh kira berapa kali sahaja dapat berhari raya dengan keluarga. Memang selalunya terpaksa berhari raya di dalam hutan. Hati mana tidak sayu bila memikirkan keluarga.

“Sebutlah mana pun, Johor, Perak, Sarawak dan Kedah semuanya pakcik sudah pernah sampai.

"Maklumlah, berpindah-randah ini sudah lumrah bagi tentera seperti pakcik,” katanya.

Selepas pencen tentera pada 1976 ketika berusia 42 tahun, Mohamad berpindah ke Felda Sungai Koyan dan bergelar peneroka.

“Askar sekarang sangat beruntung. Serba-serbi ada. Bila pencen pun duit pencen banyak tidak seperti zaman pakcik.

“Namun, pakcik gembira kerana sumbangan kecil pakcik semasa berkhidmat dalam tentera dulu dapat membantu tanah air membangun seperti sekarang,” katanya.

0 comments:

share2