Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 17, 2014

PRK: PKR ENGGAN TURUN KAIN RENTANG


Tumpat - Bilik Gerakan Parti Keadilan Rakyat (PKR, Pengkalan Kubor di sini tidak mengendahkan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya ia menurunkan kain rentang yang memaparkan logo parti itu.

Walaupun telah diberi amaran sebanyak empat kali sejak beberapa hari lepas, pemimpin negeri PKR sebaliknya menyalahkan SPR kerana suruhanjaya itu hanya memberikan amaran lisan.

Pengerusi PKR Negeri Kelantan Ab Aziz Ab Kadir berkata SPR sepatutnya mengeluarkan amaran bertulis bagi memudahkan pihaknya mengambil tindakan lanjut.

"Mereka (SPR) kata parti yang tidak bertanding tidak boleh menaikkan kain rentang atau bendera yang memaparkan logo sedangkan kami adalah Pakatan Rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima lawatan mengejut lebih 10 pegawai SPR di Bilik Gerakan PKR, Telaga Lanas, Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Ab Aziz berkata selepas berbincang dengan pegawai SPR terbabit, pihaknya bersetuju untuk menutup logo parti itu tetapi enggan menurunkan kain rentang besar yang diletakkan pada bangunan dua tingkat itu, yang dijadikan bilik gerakan mereka.

"(Amaran) mereka (SPR) hanya merujuk kepada logo, jadi kita akan menutup logo sahaja, kain rentang tidak buang. Kita akan buat selewat-lewatnya malam ini," katanya.

Selain mengandungi logo parti itu, kain rentang itu turut memaparkan wajah pasangan suami isteri iaitu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selain wajah Timbalan Presiden parti itu Mohd Azmin Ali.

PRK Dun Pengkalan Kubor diadakan ekoran kematian penyandangnya Allahyarham Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas. SPR menetapkan 25 Sept ini sebagai hari mengundi.

PRK itu membabitkan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada PRU13 tahun lepas, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

0 comments:

share2