Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 5, 2014

ISU CALON MB: JANGAN BEBANKAN SULTAN SELANGOR


Abu Bakar Yahya

Pergolakan politik di Selangor nampaknya tidak mudah diselesaikan dengan segera memandangkan calon yang dinamakan PKR iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Rabu lalu tidak menepati titah Sultan Selangor yang mahukan setiap komponen PR menghantar lebih daripada dua nama.

Ikuti wawancara Sinar Harian Online bersama Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya bagi mengupas lanjut di sebalik konflik perebutan Menteri Besar Selangor yang menjadi rebutan antara kepentingan rakyat ataupun agenda peribadi pihak tertentu.


SINAR HARIAN ONLINE: Kenapa agaknya PKR bertegas mempertahankan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor?

ABU BAKAR YAHYA: Kita ingin bertanya kepada mereka, kenapa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu ditukar sedangkan perkhidmatannya bagus, kalau tidak kenapa dia diangkat sekali lagi sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua.

Dia telah memberikan perkhidmatan cemerlang sehingga berjaya menambahkan kerusi PR dalam Selangor, lebih daripada dua pertiga.

Mungkin perjanjian mereka antara gabungan tiga parti pembangkang ini di mana DAP memegang Pulau Pinang; Pas pula Kelantan dan PKR adalah Selangor.

Tetapi biarlah ikut sistem demokrasi, di mana parti yang majoriti akan menjadi pemimpin, sekarang ini majoriti di Selangor itu adalah Pas.

Walaupun DAP mempunyai majoriti di Selangor, namun mereka tidak menepati kriteria Menteri Besar Selangor.

Saya tengok aspek teknikal ini tidak dibangkitkan, kita bercakap soal teknikal biar pemikiran rakyat Selangor terbuka sedikit, munasabahnya ada dan kalau boleh kita hendak Pas menjadi Menteri Besar.

Biar mereka meletak Pas menjadi Menteri Besar Selangor, bahkan mana ada parti Pakatan Rakyat itu kerana tiada pendaftaran lagi.


SINAR HARIAN ONLINE: Apakah yang PKR cuba berselindung di sebalik kedegilan mereka menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar sedangkan ia jelas bercanggah dengan titah Sultan Selangor yang mahukan Pas, PKR dan DAP menamakan lebih daripada dua nama untuk calon jawatan itu.

ABU BAKAR YAHYA: Saya tertarik dengan perkara ini dan Perkasa Selangor terpanggil untuk bersama melihat perkara ini di mana dilihat kepelikkan berlaku, kenapa Datuk Seri Anwar Ibrahim beriya-iya sangat hendakkan isteri beliau menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Sedangkan bukan kita tidak faham, kalau boleh biarlah calon menteri besar itu lelaki, kedua biarlah anak negeri Selangor.

Kita boleh lihat secara tersirat, mesti ada agenda yang tersirat, maka perkara ini (calon tunggal) dilakukan.

Saya amat khuatir apabila Sultan Selangor setelah titah bahawa setiap parti perlu menghantar nama dua calon untuk tuanku siapa yang akan menjadi menteri besar, sama ada DAP, Pas atau PKR.

Tetapi mereka bertegas juga hendakkan Wan Azizah menjadi menteri besar, kita amat khuatir seandainya perkara ini berterusan, mungkin tindakan mereka (PR) dilihat cuba memburukkan pihak Istana.

Kita khususnya rakyat Selangor mesti peka bahawa tuanku memberikan titah berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

Sultan Selangor tidak bertitah sewenang-wenangnya, tuanku ada penasihat undang-undangnya, ada penasihat agamanya dan ada penasihat pentadbirannya.

Ini jelas menunjukkan tuanku tidak bertitah mengikut sesuka hati, mesti mengikut undang-undang demi kesejateraan rakyat negeri Selangor.


SINAR HARIAN ONLINE: Mungkinkah Pas berpeluang menghantar nama calon jika calon tunggal PKR itu ditolak pihak istana?

ABU BAKAR YAHYA: Ini soalan cukup bernas yang saya lihat, kalau ikut sistem demokrasi, parti yang mempunyai majoriti mesti menjadi pemimpin, ketuanya mesti menjadi pemimpin.

Apabila kita lihat keputusan PRU13 lalu, Pas mendapat 15 kerusi, DAP dapat 15 kerusi dan PKR mendapat 14 kerusi.

Ini bermakna secara automatik Pas dan DAP menjadi majoriti, tetapi dalam undang-undang tubuh negeri Selangor, DAP tidak boleh menjadi menteri besar kerana DAP tiada Melayu dan beragama Islam.

Kenapa tidak Pas menjadi Menteri Besar Selangor, kenapa mesti berlaku, sedangkan kita lihat PKR sudah kekurangan lagi satu kerusi menjadi 13 kerusi selepas Tan Sri Khalid menjadi Adun Bebas.

Memang bijak tindakan Sultan Selangor yang menitahkan setiap parti itu menghantar dua calon setiap satu. Kemungkinan selain calon PKR, Pas mempunyai peluang untuk diangkat menjadi menteri besar.

Kenapa mesti menghantar nama Wan Azizah sahaja untuk jawatan itu, bahkan kami sebagai anak negeri Selangor yang tidak kurang pemimpin lelakinya agak malu sedikit apabila wanita menjadi ketua kita.

Saya beranggapan tidak berapa cantik (menamakan calon wanita), seolah-olah tiada lagi pemimpin lelaki yang berwibawa di Selangor.

Kalau saya menjadi salah seorang pemimpin yang menang itu, saya sendiri akan berasa malu kerana lelaki tidak dapat menjadi pemimpin.


SINAR HARIAN ONLINE: Adakah mungkin wanita boleh memecahkan tradisi pelantikan Menteri Besar Selangor di kalangan pemimpin lelaki sejak 67 tahun? Adakah beliau layak dan berkaliber untuk memimpin Selangor sedangkan beliau masih lemah berbahas sebagai Adun Kajang dengan berkesan pada sidang Dun Selangor yang lalu.

ABU BAKAR YAHYA: Saya tidak bercakap soal parti mereka, tetapi kalau kita lihat logik dan munasabahnya, cuba senaraikan semua Adun di Selangor ini, berapa di antara lelaki, berketurunan Melayu, beragama Islam dan lahir di Selangor yang layak menjadi menteri besar.

Kenapa kaedah itu tidak digunakan untuk memilih menteri besar dan kenapa Wan Azizah sahaja diletak?

Kita kena lihat dan kaji semula agenda atau matlamat sebenarnya PR meletakkan Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Jika kita lihat secara keseluruhannya, mungkin perjanjian mereka dalam PR yang tidak berdaftar ini, yang tiada logo ini, mungkin di Pulau Pinang diberikan kepada DAP, di Kelantan pula Pas dan di Selangor diberikan kepada PKR.

Adakah perjanjian itu dianggap sebagai demokrasi? Perkara ini yang kita persoalkan dan rakyat Selangor kita lihat perkara ini.

Lebih menghairankan kami ialah apabila dua Adun Pas di Selangor itu (Adun Morib dan Hulu Kelang) lebih cepat menyokong Wan Azizah dan tidak mengikut keputusan Pas Pusat sedangkan ketika itu pimpinan Pas belum bermesyuarat lagi.

Sebenarnya siapa yang berada dalam Pas itu? Pas selalu dikenali dengan ukhuwah dan hubungan dengan pemimpin Pas lain cukup kuat, tetapi apabila perkara yang kritikal ini berlaku, dua Adun Pas itu dilihat telah melanggar segala peraturan dan perjanjian dalam Pas.


SINAR HARIAN ONLINE: Pimpinan Pas Pusat sehingga kini enggan menandatangani surat Akuan Bersumpah menyokong Wan Azizah. Apakah sebenarnya agenda di sebalik keengganan Pas itu?

ABU BAKAR YAHYA: Apa yang kita lihat Pas sekarang ini (buat keputusan), Pas mempunyai pengaruh tersendiri, Pas juga perlu mendengar aduan daripada akar umbi (sebelum bertindak).

Jika Pas berterusan menyokong segala tindakan dalam PR itu, besar kemungkinan penyokong mereka akan lari.

Dalam masa terdekat ini, kita boleh lihat bahawa kekuatan Pas yang sebenar apabila "roadshow" yang dibuat PKR untuk berkempen Wan Azizah dicalonkan sebagai menteri besar di beberapa tempat kita dapati tidak mendapat sambutan dan banyak kerusi kosong.

Ada beberapa kes apabila roadshow itu sepatutnya dihadiri Wan Azizah sendiri namun dia tidak hadir kerana kehadiran orang ramai cukup memalukan.

Walaupun roadshow dibuat dalam dewan yang besar, kerusi banyak namun tidak sampai satu perempat dewan itu dipenuhi.

Keadaan membayangkan bahawa Pas telah melihat satu gerakan dari bawah sudah bermula. Kalau Pas berterusan menyokong PR secara terang-terangan seperti itu, mungkin pengikut-pengikut mereka akan lari.

Saya yakin dan percaya bahawa pengikut Pas ramai di antaranya mahukan Selangor membangun mengikut cara Islam, sebab itu mereka beriya-iya menyokong Pas sebelum ini.

Saya juga yakin ramai lagi pengikut Pas masih taat kepada Sultan Selangor, dia tidak mahu menderhaka kepada tuanku sebagai payung kepada negeri ini.


SINAR HARIAN ONLINE: Adakah disebabkan kedegilan PKR untuk menamakan lebih daripada dua calon akan menyebabkan sebarang kemungkinan termasuk pembubaran Dun Selangor atau undi tidak percaya?

ABU BAKAR YAHYA: Kita kena lihat agenda yang tersurat dan tersirat, yang tersurat mereka (PKR) mahu Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor dan yang tersirat pula kita tidak tahu.

Kemungkinan apabila nama Wan Azizah diajukan kepada pihak Istana sebagai Menteri Besar Selangor, kemungkinan Sultan Selangor tidak menerimanya, dan pimpinan PKR pula akan bangkit berkempen kepada rakyat akan menuduh dan mengheret tuanku ke dalam kancah politik.

Kita sekarang kalau boleh bangun dan nyatakan untuk bersiap sedia, seandainya perkara ini berlaku, kita hendak berkempen kepada seluruh rakyat Selangor ini supaya dapat berdiri teguh di belakang tuanku kerana Sultan Selangor pastinya membuat keputusan untuk memenuhi citarasa rakyat, kestabilan politik, pentadbiran dan ekonomi Selangor.


SINAR HARIAN ONLINE: Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memberi amaran kepada Tan Sri Abdul Khalid supaya tidak membawa usul bubar Dewan Undangan Negeri kepada Sultan Selangor. Adakah PKR dan PR takut kehilangan sokongan dan kalah jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dijalankan ketika mood rakyat sedang marah dengan pemecatan Tan Sri Khalid?

ABU BAKAR YAHYA: Ada kemungkinan (PKR kalah teruk), macam-macam tafsiran mereka (Rafizi), malah DAP pun bercakap seandainya berlaku PRN Selangor berlaku, PR akan kehilangan banyak kerusi.

Mungkin parti lain akan cakap, seperti BN sudah bersedia atau sebaliknya bagi menghadapi PRN Selangor, kita tidak boleh meramalkan apa jua yang mungkin berlaku.

Apa yang penting ialah sebagai rakyat Selangor mestilah berdiri teguh apa jua keputusan yang dibuat oleh Sultan Selangor.


SINAR HARIAN ONLINE: Seandainya PKR masih berdegil untuk menghantar satu nama kepada pihak Istana, apakah pendirian Perkasa Selangor selepas ini?

ABU BAKAR YAHYA: Seandainya dia tetap menghantar satu nama (Wan Azizah), maknanya mereka tidak memahami titah Sultan Selangor.

Apabila tuanku titah hantar enam nama, tapi mereka hantar satu nama, maknanya mereka tidak faham kehendak tuanku.

Ini bermakna mereka juga mahu menunggu keputusan Sultan Selangor, makna mereka degil dan tetap hantar satu nama, maka tunggulah keputusan tuanku.

Mereka perlu faham tuanku berkuasa di Selangor dan baginda juga akan memutuskan hal itu.

Seandainya tidak (calon tidak diperkenan) maka pilihan raya akan berlaku.

Kalau calon yang dihantar itu diperkenan tuanku, maka kita juga menerimanya, tetapi rakyat kena menilai semula.

Kita nasihatkan PKR supaya jangan bebankan perkara itu kepada tuanku.

Apabila Sultan Selangor sudah beri laluan yang mudah, maka gunakanlah laluan itu, sesiapa sahaja boleh menjadi Menteri Besar kalau calon itu betul-betul hendak memimpin.

Sebenarnya apa sebabnya mereka berebut-rebut hendak menjadi menteri besar? Apa tujuan dan matlamatnya.

Kalau mereka benar-benar mempunyai PR, kenalah betul-betul berpakat, siapa juga menteri besar, kita bimbing bersama, jaga bersama, kita bina bersama supaya Selangor terus maju dan menjadi negeri paling kaya di Malaysia.

Ini yang menjadi rebutan ini pasal apa? Mesti ada muslihat tapi kita tidak tuduhlah apa muslihat mereka!

Bermakna keputusan mereka telah pelbagai persepsi kepada rakyat.

Oleh kerana itu, Perkasa dengan seluruh ahlinya akan bergerak ke seluruh daerah dan Parlimen di Selangor untuk berkempen memberitahu kepada rakyat bahawa kita akan berdiri teguh di belakang Sultan Selangor dengan apa jua titah baginda nanti.

Itu ketetapan Perkasa Selangor.

0 comments:

share2