Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 4, 2014

RAKYAT LUAR BANDAR DAPAT MANAFAAT GST



Baram: Peruntukan untuk pembangunan di kawasan luar bandar akan dapat ditambah lagi untuk manfaat penduduk apabila cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di sini, semalam.

Katanya, melalui pelaksanaan GST, kerajaan akan dapat meningkatkan lagi hasil pendapatan yang seterusnya akan disalurkan untuk tujuan pembangunan negara khususnya di kawasan luar bandar.

“Bila hasil kita bertambah, sebahagian besar daripadanya akan digunakan untuk membuat jalan raya luar bandar, sekolah, hospital dan klinik kesihatan,” katanya berucap pada majlis sambutan Gawai Dayak di Long Silat, sebuah perkampungan masyarakat Kenyah, di sini.

Perdana Menteri menegaskan, masyarakat luar bandar tidak perlu bimbang dengan dakyah pembangkang yang cuba menghasut mereka untuk menentang pelaksanaan GST.

“Saya memberi jaminan di sini, barang keperluan harian rakyat dikecualikan daripada GST,” katanya.

Najib berkata, penduduk kawasan luar bandar seperti di daerah Baram selama ini menunjukkan kesetiaan dan keikhlasan mereka menyokong kerajaan Barisan Nasional dan mereka wajar terus dibela.

Ekoran sokongan padu itu, kerajaan dapat menjalankan program pembangunannya di daerah itu dan memanfaatkan penduduk secara berperingkat.

“Saya yakin dengan adanya tanda-tanda pemulihan (pembangunan) yang berlaku sekarang di sini, kita akan dapat menyelesaikan perkara yang menjadi masalah kepada rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan berjumlah RM300 juta untuk membaiki jalan balak yang sudah usang di Baram untuk dijadikan jalan perhubungan rakyat kawasan itu dan RM64 juta daripadanya sudah dibelanjakan.

“Sejumlah RM263 juta akan dibelanjakan sehingga 2016 dan kalau hasil (kerajaan) bertambah, saya boleh menambah lagi peruntukan ini dalam masa yang terdekat,” katanya.

Najib turut meluluskan peruntukan RM26.6 juta untuk penyambungan bekalan elektrik dari stesen hidro mini di Long Banga.



0 comments:

share2