Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 4, 2014

DIKAGUMI ANTARABANGSA



Miri: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan keupayaan negara mengekalkan toleransi kaum di negara ini cukup membanggakan kerana ia menjadikan negara dikagumi di peringkat antarabangsa selain turut dijadikan model oleh negara luar.

Perdana Menteri berkata, toleransi kaum yang dikecapi Malaysia adalah teras utama kejayaan kerajaan dalam pembangunan negara, terutamanya dalam kestabilan politik.

“Kita bersyukur kerana negara mampu mencapai begitu banyak kejayaan, saya khususkan dalam konteks negeri Sarawak, lihat bagaimana kita dapat menentukan kestabilan politik.

“Ada negara yang tidak berapa jauh dari kita, tetapi diancam ketidakstabilan politik, tetapi kita dapat menjamin sosial harmoni yakni kita dapat hidup dalam keadaan aman dan damai walaupun kita terdiri dari pelbagai kumpulan etnik dan sub etnik dan Sarawak adalah model sosial harmoni dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Rumah Terbuka 1Malaysia Gawai Dayak 2014 di Rumah Panjang Jarek Klambu, Lambir, di sini, semalam.

Najib diiringi Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Morshidi Abd Ghani.

Kunjungan Najib itu menempah sejarah sebagai kunjungan kedua pemimpin tertinggi negara ke rumah panjang berkenaan dalam tempoh 46 tahun lalu selepas lawatan mantan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra pada 1968.

Sebagai simbolik kunjungan Najib itu, beliau dihadiahkan sebilah Parang Ilang yang juga parang kepahlawanan Iban Sarawak berukuran 2.5 meter yang ditempah khas penduduk rumah panjang berkenaan.

Mengulas lanjut, Najib berkata, keunikan pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang mewakili kepentingan semua kaum di Malaysia turut menyumbang kepada kestabilan politik dan kemajuan negara ini.

“Sejak merdeka, kita (BN) sudah membuktikan keupayaannya dalam memacu kemajuan negara.

Kita kini berada di landasan cukup kukuh.

“Namun, jangan sesekali kita leka dengan nikmat ini dan perlu menjadikannya dorongan untuk mencipta kejayaan lebih cemerlang,” katanya.

Sementara itu, beliau menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus membantu agenda pembangunan di negeri ini di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

“Sejak 2009 (ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri), saya meluluskan peruntukan RM2 bilion hingga kini, khusus bagi membantu pembangunan negeri ini., terutama di kawasan luar bandar.

“Dalam belanjawan setiap tahun, peruntukan besar diberikan kepada Sarawak untuk tujuan itu yang jelas membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap usaha pembangunan di negeri ini,” katanya.



0 comments:

share2