Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 30, 2014

MINYAK MASAK HILANG DARI PASARAN - KERAJAAN PATUT KAJI SEMULA SUBSIDI



Setiap tahun, kerajaan akan membayar lebih daripada RM1 bilion dalam bentuk subsidi untuk membantu menstabilkan harga minyak masak. Di bawah Bajet 2013, subsidi yang dicadangkan adalah RM1.5 bilion, yang mana sedikit rendah berbanding tahun ini iaitu RM1.7 bilion.

Untuk lebih memahami isu ini, Kerajaan mula memberikan subsidi pada minyak masak semenjak tahun 1992 berdasarkan harga bahan mentah – minyak sawit mentah (CPO) yang diniagakan pada kadar RM1,700 dan RM2,500 setiap tan.

Bagaimanapun, sebaik-baik sahaja harga CPO mencecah RM2,500 per tan atau lebih tinggi, pemain-pemain minyak kelapa sawit di Semenanjung akan dikenakan 15% Windfall Profit Tax (WPT). Bagi penanam-penanam kelapa sawit di Sabah dan Sarawak, 7.5% WPT akan dikuatkuasakan apabila harga CPO mencecah RM3,000 bagi setiap tan atau lebih.

Pun begitu, harga CPO semasa telah pun jatuh pada tahun ini dan diniagakan sekitar RM2,500 per tan. Ini bermakna kerajaan perlu mengeluarkan pembayaran bagi subsidi minyak masak dan tidak mengutip sebarang duit bagi Windfall Profit Tax daripada syarikat-syarikat minyak kelapa sawit.

Selain daripada subsidi, WPT yang dikutip daripada para penanam juga bermakna untuk melangsungkan subsidi bagi minyak masak dalam negara. Oleh kerana itu, dengan memberikan subsidi yang tinggi untuk minyak masak Malaysia, pengguna akan memperolehi minyak masak pada kadar harga lebih murah iaitu RM2.50 bagi setiap kilogram berbanding harga dua kali ganda di negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Perlu diingatkan, minyak masak bersubsidi sepatutnya untuk disasarkan untuk kegunaan kumpulan isirumah.

Bagaimanapun, secara realitinya, 30% sehingga 35% minyak masak bersubsidi seringkali sampai ke tangan yang salah seperti operator restoran, penggerai dan industri makanan berskala kecil. Malah sesetengah pihak mendakwa, 10% daripada jumlah keseluruhan kuota minyak masak bersubsidi domestik telah diseludup ke negara-negara jiran.

Satu lagi isu yang seringkali timbul ialah setiap kali musim perayaan tiba, pastinya akan berlaku kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di seluruh Malaysia, sekalipun negara ini merupakan pengeluar CPO terbesar dunia dan bahan mentahnya sangat banyak sepanjang tahun.

Justeru, persoalan yang ditimbulkan oleh para penanam kelapa sawit ialah mengapa tidak Kerajaan mengkaji semula atau beransur-ansur mengurangkan subsidi minyak masak sepertimana pengurangan subsidi terhadap gula dan petroleum?

Mengapa kerajaan masih lagi membelanjakan berbilion ringgit untuk subsidi minyak masak setiap tahun sedangkan subsidi untuk golongan berpendapatan rendah hanya dianggarkan antara RM100 juta ke RM200 juta setiap tahun?

Amat menyedihkan apabila minyak masak subsidi berlegar-legar di kalangan golongan yang tidak sepatutnya atau diseludup keluar dari negara ini semata-mata untuk tujuan keuntungan.

Oleh kerana itulah juga, banyak pihak percaya, ini adalah masanya yang terbaik untuk kerajaan mengkaji semula mekanisme pemberian subsidi minyak masak yang telah diperkenalkan di negara ini semenjak 22 tahun lampau.
Satu perkara yang pasti ialah, selepas beberapa tahun menikmati subsidi minyak masa, kumpulan yang tidak sepatutnya itu perlu membeli minyak masa pada kadar harga pasaran iaitu RM3.00 sehingga RM3.50 bagi setiap kilogram berbanding harga RM2.50 per kilogram sekarang ini.

Pada masa yang sama, kumpulan berpendapatan rendah pula perlu diberikan bantuan tunai terus atau kupon untuk membeli minyak masa pada kadar subsidi.



0 comments:

share2