Bahang perubahan cuaca yang sedikit panas berikutan peralihan Monsun Barat Daya yang mula terasa di sekitar Lembah Klang khususnya di Selangor sekarang ini seakan turut membawa tempias menyebabkan suhu kehangatan politik negeri ini memuncak secara tiba-tiba.
Samada ia kebetulan atau sudah suratan hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui, satu yang pasti kegagalan Tan Sri Khalid Ibrahim mempertahankan jawatan Ketua Cabang dalam pemilihan semula PKR Kuala Selangor memberi petanda jelas peralihan tampuk kepimpinan negeri akan berlaku.
Hakikat berlakunya peralihan itu diperkukuhkan lagi melalui kenyataan terbuka oleh Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang disiarkan petang tadi melalui laman sosial FB milik isterinya, Wan Azizah Wan Ismail yang juga adalah Presiden PKR di mana Anwar menegaskan jawatan MB Selangor bukan milik peribadi sesiapa.
Barangkali bagi Anwar jawatan MB Selangor lebih layak menjadi hak milik peribadi isterinya sendiri selaras dengan kedudukan Wan Azizah yang kini adalah ADUN Kajang meskipun kebanyakan komen penyokong PKR dan PR di status FB itu lebih condong menyokong supaya Khalid dikekalkan sebagai MB.
Bagi ramai pemerhati politik kenyataan terbuka Ketua Umum PKR itu merupakan isyarat jelas kepada Khalid supaya bersedia untuk berundur dan seakan memaksa Khalid untuk menerima hakikat jawatan MB Selangor yang disandangnya kini sedang beransur longgar dari genggaman.
Sandaran terakhir Khalid untuk mengekalkan jawatan MB Selangor dengan bergantung harap pada kemungkinan dirinya berpeluang merampas jawatan Timbalan Presiden dari Azmin Ali juga terlalu tipis, congak kira macam mana sekalipun terlalu sukar untuk Khalid memintas Azmin yang sedang mendahului undian.
Bagaimanapun Khalid dalam kenyataan terbarunya kepada TV3 sekejap tadi kelihatannya masih berkeras untuk mengekalkan jawatan MB Selangor dan menolak sebarang ura-ura untuk meletakkan jawatan tersebut sekalipun berdepan kemungkinan tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.
Nampak gayanya dengan ketegasan Khalid itu bakal meningkatkan lagi suhu politik dalaman PKR dan negeri ini ke tahap tertinggi. Sudah beberapa kali Anwar cuba dan terus mencuba menyahkan Khalid dari kerusi MB tetapi gagal, namun kali ini hanya keajaiban sahaja yang boleh menyelamatkan Khalid dari digulingkan.
0 comments:
Post a Comment