Kuantan - “Saya terdengar bunyi letupan kecil dari arah belakang televisyen sebelum api menyambar bahagian dinding dan marak serta merebak ke bahagian atas rumah,”.
Demikian kata Mohd Syukri Hamid, 40 mangsa kebakaran dari Felda Bukit Goh dekat sini, semalam.
Mohd Syukri berkata, menyedari api mula tidak terkawal dia menjerit memanggil bapa, Hamid Abdul Nayan, 69, dan ibu, Esah Awang, 69 supaya keluar menyelamatkan diri sambil membawa anak-anak yang masih kecil.
“Mujur kami semua selamat namun ibu terpaksa dihantar ke klinik selepas mengalami sesak nafas akibat terhidu asap dan terkejut dengan kejadian yang menimpa kami,” katanya.
Dalam kebakaran kira-kira jam 9 pagi itu, rumah milik bapanya yang turut dihuni sembilan sekeluarga termasuk dia dan keluarga musnah terbakar.
“Kami semua tinggal sehelai sepinggang kerana semua barang hangus termasuk dokumen penting,” katanya.
Menurutnya, api marak dengan cepat memandangkan rumah dibina separuh kayu manakala dinding bilik hanya berpapan lapis.
“Saya sendiri tidak pasti puncanya namun tidak menolak kemungkinan kejadian disebabkan litar pintas,” katanya.
Menurutnya, anggaran kerugian dialami kira-kira RM30,000 berdasarkan kerosakan barang rumah secara keseluruhan.
“Buat masa sekarang kami agak buntu memikirkan kehidupan akan datang selepas hilang tempat berteduh yang berusia hampir 40 tahun.
“Kami mungkin akan menumpang di rumah abang buat sementara waktu,” katanya.
Dia berkata, kehidupan mereka agak sukar selepas musibah itu apatah lagi Ramadan bakal menjelang beberapa hari lagi.
0 comments:
Post a Comment