Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 21, 2014

DUA MAUT, DUA PARAH NAHAS BERASINGAN

Kuantan - Hasrat tiga rakan untuk pulang bercuti ke kampung tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit nahas di Batu 9, Jalan Kuantan Gambang dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa, Mohd Syahir Kamil Yazid, 20, dari Taman Chengal Utama, Seremban, Negeri Sembilan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua rakannya parah.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir dan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, tiga penuntut kolej Ranako, Kemaman itu menaiki kereta Proton Iswara dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Gambang.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke kanan sebelum memasuki laluan bertentangan dan terbalik.

“Mohd Syahir yang memandu kereta tercampak keluar manakala dua rakannya yang masih belum dikenalpasti identiti tersepit dalam kenderaan berkenaan,” katanya.

Dalam kemalangan berasingan, seorang penunggang maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang terlanggar belakang sebuah van sebelum terbabas melanggar tiang lampu di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Indera Mahkota di sini, petang semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Muhammad Ariff Mustafa, 23 dari Kampung Gelugor Haji Tahir, Kuala Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Zainalabidin berkata, mangsa yang bertugas sebagai polis bantuan menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Naza Blade dipercayai dalam perjalanan dari arah Kemaman menghala ke Gambang.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terlanggar belakang sebuah van di hadapan lalu terbabas ke kanan jalan dan merempuh tiang lampu di tengah pembahagi jalan.

0 comments:

share2