Rompin - Ibu bapa kepada penunggang motosikal yang maut selepas dirempuh sebuah lori treler tanpa muatan di Kilometer 152 Jalan Kuantan – Johor Bahru yang berlaku berhampiran Kampung Jawa sekitar jam 6 petang kelmarin sukar menerima kenyataan kerana telah kehilangan anak lelaki tunggalnya itu.
Mangsa, Dol Ali @ Aseng, 21, anak kedua daripada dua beradik itu dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya di Perkampungan Orang Asli Batu 8, di sini, selepas selesai membeli barang makanan untuk keluarganya di Endau, Mersing.
Bapa mangsa, Ali @ Aseng Kamcong, 59, tidak menyangka akan kehilangan anak lelakinya itu dalam kemalangan yang ngeri dan ketika anaknya itu sedang membawa makanan untuk dibawa balik ke rumah.
“Sebelum itu dia menolong kami bekerja di ladang sawit dan kali terakhir bertemu dengannya adalah pada jam 5 petang semalam (kelmarin) iaitu ketika dia hendak keluar pergi ke Endau untuk membeli barang makanan.
“Dia hendak beli biskut untuk kami, saya sangat terharu dan sedih yang tidak terhingga apabila dimaklumkan oleh kenalan yang berada di lokasi kejadian bahawa biskut yang dibeli bertaburan di atas jalan,” katanya.
Menurut Ali, sebelum kejadian, mendiang anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan atau petunjuk yang dia akan meninggalkan mereka buat selamanya.
Dalam pada itu, ibu mangsa, Suria Bigi, 60, kelihatan begitu sedih seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan kehilangan anak lelaki tunggal dan bongsu itu hingga terpaksa ditenteramkan oleh saudara-maranya.
Sukar diluahkan dengan kata-kata
Kakak mangsa, Sarimah, 35, berkata, berasa sangat sayu dengan kisah kejadian yang menimpa satu-satunya adik lelakinya itu.
“Saya tidak boleh menerima keadaan kemalangan itu berlaku ketika dia (mangsa) dalam perjalanan pulang ke rumah dengan membawa makanan untuk kami.
“Seperti ayah juga, apabila dimaklumkan tentang biskut yang bertaburan di atas jalan, saya begitu sayu hingga sukar diluahkan dengan kata-kata,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Mohd Razali Razak, mengesahkan kejadian berkenaan dan memberitahu kes sedang dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dari pekan Endau dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Orang Asli Batu 8 maut di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan badan.
“Sampai di lokasi kejadian, mangsa telah dilanggar lori treler dari arah Bandar Rompin yang sebelum itu merempuh belakang sebuah kereta Perodua Kancil yang juga dari arah sama yang ketika itu mahu membelok ke kanan untuk masuk ke simpang rumahnya,” katanya.
Menurut Razali, pemandu lori berkenaan, Jayaraman a/l Narayanan, 40, dan pemandu Perodua Kancil, Abd Wahab Yaacob, 51, turut mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Rompin untuk diberi rawatan lanjut.
0 comments:
Post a Comment