KUANTAN - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berjaya menahan 30 individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam Operasi Perdana yang dijalankan di sekitar bandar Kuantan malam kelmarin.
Pengarahnya, Azmi Mustafa berkata, dalam operasi membabitkan 145 anggota itu, pihaknya berjaya menahan 38 individu yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Bagaimanapun katanya, selepas ujian saringan dibuat, 30 disahkan positif dadah iaitu 13 positif methamphetamine manakala 17 positif dadah jenis heroin.
“Semua yang ditahan berusia antara 19 hingga 42 tahun dalam operasi melibatkan beberapa lokasi seperti di dalam sekatan jalan raya, di Taman Tas dan Felda Panching Utara.
“Turut ditahan termasuk seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang dipercayai mengikut rakan lelakinya dan didapati positif dadah,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Azmi berkata, operasi yang dijalankan dengan kerjasama pihak penguat kuasa itu bermula pada jam 8.30 malam dan berakhir kira-kira jam 4 pagi.
Sementara itu katanya, AADK kini sedang giat memburu 182 individu di seluruh negeri yang ingkar menjalani rawatan di pusat pemulihan yang ada.
“Dalam operasi tersebut, 26 individu didapati sebagai penagih baru manakala empat adalah yang melanggar syarat iaitu tidak hadir menjalani rawatan.
“Mereka yang ingkar mendapatkan rawatan sentiasa memberi alasan dan pihaknya terpaksa mengambil tindakan untuk memastikan mereka menerima rawatan pemulihan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Azmi berkata, mereka yang ingkar biasanya masih terlibat dengan aktiviti penagihan dadah selain terlibat dalam kes jenayah lain.
“Berdasarkan rekod, seramai 37 individu di Kuantan didapati melanggar syarat diikuti Raub seramai 35.
“Kita akan terus mencari mereka melalui operasi yang dijalankan untuk memastikan mereka mendapatkan rawatan pemulihan yang sudah diatur,” katanya.
0 comments:
Post a Comment