Bungkusan plastik berwarna hitam berisi surat khabar, air mineral dan garam yang diberikan tiga suspek wanita.
Taiping - Niat seorang wanita berbelanja di Pasar Taiping bertukar tragedi apabila dia didakwa dipukau dan rugi sehingga RM82,000.
Mangsa, dikenali sebagai Marry, 60, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, dia didatangi seorang wanita bertanyakan alamat.
"Pada masa sama, seorang lagi wanita datang mengakui tahu alamat berkenaan.
"Malah, wanita kedua itu terus pegang tangan dan beritahu saya dipukau dan perlu mendapatkan rawatan segera," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, dua wanita terbabit memintanya mengeluarkan sejumlah wang untuk rawatan.
"Saya balik rumah di Kampung Jambu mengambil buku akaun bank sebelum keluarkan wang.
"Mereka kemudian bawa saya ke Jalan Stesyen dan menyerahkan wang itu sebelum diberikan satu bungkusan plastik hitam," katanya.
Bagaimanapun katanya, dia hanya menyedari kejadian itu setelah mendapati terdapat surat khabar, dua botol air mineral dan garam dalam bungkusan plastik hitam berkenaan.
"Sampai di rumah, saya mandi dan selepas itu barulah saya tersedar apa isi bungkusan plastik hitam sebelum membuat laporan polis," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, suspek menggunakan modus operandi mengubah nasib buruk untuk memperdayakan mangsa.
"Dua suspek wanita terbabit memaklumkan mangsa ada nasib tidak baik dan ada banyak penyakit sebelum membawanya ke kawasan berhampiran SMK St George.
"Sampai di situ, mangsa berjumpa seorang lagi suspek wanita dan diminta menyediakan beras dan wang untuk proses rawatan," katanya.
Beliau berkata, ketika menyerahkan beras dan wang, suspek membaca mantera sebelum seorang rakan subahatnya meminta mangsa membuka bungkusan plastik hitam itu dalam masa sembilan hari.
"Namun, selepas sampai di rumah, mangsa mula rasa tertipu dan membuat laporan polis,” katanya.
0 comments:
Post a Comment