Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 27, 2014

WANITA DIBURU TIPU PAKEJ PELANCONGAN

Sungai Buloh - Polis sedang giat memburu seorang suspek yang dipercayai menjalankan sindiket penipuan pakej pelancongan melalui laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, pada 23 Mei lalu, seorang mangsa berusia lingkungan 40an diperdaya sebanyak RM15,800 oleh suspek wanita itu bagi membeli pakej pelancongan ke Pulau Redang, Terengganu.

Menurut Junaidi, suspek berkenaan memberitahu dia adalah salah seorang kakitangan di sebuah syarikat yang beroperasi di Seksyen 7, Shah Alam.

“Disebabkan mangsa pernah mengambil pakej di bawah syarikat itu sebelum ini, dia mempercayai suspek itu dan membuat bayaran ke dalam satu akaun di atas nama seorang wanita lain yang diakui suspek sebagai rakan kongsinya,” katanya.

Beliau berkata, beberapa transaksi wang dilakukan oleh mangsa ke akaun berkenaan bagi membuat bayaran pakej untuk 12 orang dewasa dan lima kanak-kanak.

Malangnya, pada tarikh mereka sepatutnya berangkat, mangsa dan ahli rombongan yang ke Lapangan Terbang Subang diberitahu tiada sebarang pakej serta tempahan tiket penerbangan dibuat oleh pihak terbabit.

Mangsa yang terkejut dan mula ragu-ragu segera menghubungi suspek beberapa kali bagi mendapatkan penjelasan namun gagal.

Mangsa turut menjejaki alamat syarikat tersebut bagi mendapatkan penjelasan namun mereka telah menghentikan operasi.

“Polis kini sedang memburu suspek berkenaan serta pemilik akaun tersebut bagi membantu siasatan terperinci berhubung kes ini,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Haslinda Mohammad, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil atau mana-mana balai polis berhampiran.

0 comments:

share2