Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 27, 2014

AKIBAT TIPU SKIM BANTUAN 1MALAYSIA

Seremban – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas didapati bersalah memperdaya mangsa membuat pelaburan Skim Bantuan 1Malaysia pada Februari hingga Mac tahun lalu.

Tertuduh, M Dhilip Kumar, 31, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohammed Noh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya memperdayakan mangsa, C Prakash, 31, untuk membuat pelaburan dengan tujuan mendapatkan bantuan kerajaan iaitu Skim Bantuan 1Malaysia kepada peniaga India yang kamu ketahui perkara itu adalah tidak benar dengan perdayaan tersebut mendorong penama mendepositkan RM9,600 ke dalam akaun bank milik kamu menyebabkan penama mengalami kerugian atas perdayaan kamu di sebuah kedai di Taman Seruling Jaya, Seremban di antara 27 Februari hingga 28 Mac 2013.

Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda.
Mohamad Izwan mengarahkan hukuman dijalankan mengikut daripada tarikh tangkapan tertuduh.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah memperkenalkan diri sebagai seorang ahli politik MIC dan memberitahu mangsa bahawa kerajaan mahu memberi bantuan Skim Bantuan 1Malaysia yang dikhususkan kepada masyarakat India sempena pilihan raya umum.

Tertuduh memberitahu sesiapa yang berminat dikehendaki membuat pembayaran RM300 bagi setiap penyertaan dan kerajaan akan memberikan bantuan RM5,000 setiap penyertaan. Penyampaian bantuan itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri pada 22 April 2013 di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Di atas tawaran itu, pengadu telah senaraikan seramai 32 peserta yang berminat untuk menyertai skim itu dan telah mendepositkan sejumlah RM9,600 ke dalam akaun tertuduh secara berperingkat sebanyak enam kali mulai 27 Februari hingga 28 Mac 2013.

0 comments:

share2