Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 7, 2014

WANITA DAN PENGANGKUTAN AWAM

Tahun 2014 merupakan tahun ke-58 tanah air kita mencapai kemerdekaan. Sepanjang tempoh itu, pelbagai sektor dibangunkan pemimpin negara terdahulu hingga kini untuk pastikan hasilnya dapat dikongsi seluruh rakyat. Perkembangan sektor ekonomi buka ruang untuk rakyat dapatkan peluang pekerjaan menerusi sektor yang berbeza.

Sektor pengangkutan awam di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Pertambahan jumlah penduduk menyebabkan sektor ini diberi perhatian bagi memudahkan pergerakan masyarakat ke destinasi ingin dituju.

Pada asalnya, sektor ini didominasi golongan Adam. Namun, situasi sekarang tidak seperti dulu lagi, keterlibatan golongan Hawa semakin diterima oleh masyarakat apabila banyak syarikat pengangkutan awam sama ada darat mahupun udara menepis jurang diskriminasi terhadap wanita dengan alu-alukan kehadiran mereka untuk pegang jawatan pemandu kenderaan awam.

Bas dan teksi merupakan antara pengangkutan awam yang sangat popular dalam kalangan masyarakat di tanah air. Oleh yang demikian, tidak hairanlah sekiranya Syarikat Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dengan menawarkan gaji lumayan kepada pemandu bas wanita.

Selain memandu pengangkutan awam darat, wanita kini juga telah berjaya ‘terbang tinggi’ di langit biru. Kemunculan juruterbang wanita yang berkhidmat di Syarikat Penerbangan Tambang Murah Air Asia membuktikan kemampuan wanita mengendalikan pesawat udara.

Tugas juruterbang bukanlah mudah kerana memerlukan tahap kefahaman dan kearifan yang tinggi seperti dinyatakan oleh kapten wanita pertama Air Asia, Norashikin Onn.

Hal ini demikian kerana, pada peringkat temu duga, setiap peserta tanpa mengira perbezaan jantina perlu duduki ujian penulisan, ujian lisan, dan ujian psikomotor. Mereka dikehendaki lulus semua ujian ini sebelum nama disenarai pendek untuk ke peringkat seterusnya.

Berdasarkan jenis-jenis pengangkutan awam tersebut, wanita dilihat memiliki kelebihan istimewa yang menjadi faktor signifikan terhadap keterlibatan mereka dalam industri pengangkutan awam.

Berdasarkan laporan trafik New York, naluri wanita dikatakan lebih peka kepada persekitaran. Lazimnya, persediaan wanita sebelum memandu kenderaan adalah lebih teliti dalam aspek pemakaian tali pinggang, kedudukan cermin pandang belakang dan cermin sisi kenderaan.

Pemeriksaan keadaan enjin juga telah dilakukan lebih awal sebelum memulakan sesuatu perjalanan yang jauh. Mungkin bagi sesetengah kaum lelaki, persediaan ini adalah ‘biasa’ yang remeh, malah terdapat juga pemandu lelaki yang mengabaikan pemakaian tali pinggang keledar kerana menganggap mereka sudah cukup profesional dalam pemanduan kenderaan.

Hasil kajian di University of Bradford (2000) membuktikan bahawa wanita mempunyai daya fokus yang lebih lama daripada lelaki disebabkan hormon estrogen yang terkandung dalam tubuh wanita.

Hormon tersebut memudahkan wanita menumpukan perhatian terhadap sesuatu perkara seperti mempelajari, memahami dan mematuhi peraturan. Keadaan ini secara tidak langsung menyumbang kepada kadar pematuhan yang tinggi terhadap undang-undang jalan raya dalam kalangan pemandu wanita.

Hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) pada tahun 2010 pula mendapati wanita lebih beremosi sewaktu memandu di jalan raya, tetapi mereka mengalami kurang pelanggaran dan maut di jalan raya.

Dalam pada itu, Karen Goonting, salah seorang penyelidik dan pakar psikologi berkata: "walaupun wanita mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk cepat rasa marah, namun jumlah pemandu wanita yang terlibat dalam kemalangan jalan raya adalah kurang kerana mereka kebiasaannya menyimpan rasa marah tersebut.”

Kesimpulannya, di sebalik fitrah keayuan dan kelembutan golongan wanita, terselit sebuah ketabahan yang menjadi nadi penggerak kepada mereka untuk terus memecah tradisi dan bergelar pemandu pengangkutan awam. Hal ini bersesuaian dengan kata-kata keramat ‘tangan yang disangka lembut mengayun buaian telah menggoncang dunia untuk mencipta sejarah.’

0 comments:

share2