Rompin – “Saya terkejut, tak sangka itu mayat Pak Long,” kata Mohd Asraf Hafiz Md Tahir, 26, yang tidak sangka bahawa mayat yang ditemuinya di Pantai Leban Chondong, petang kelmarin itu adalah mayat bapa saudaranya sendiri.
Menurutnya, hampir setiap petang kawasan pantai tersebut akan menjadi lokasi kunjungannya.
“Memang setiap petang saya akan ke kawasan pantai tersebut untuk mencari ketenangan namun tidak sangka petang semalam (kelmarin), saya akan menjumpai mayat bapa saudara saya sendiri di situ,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kebiasaannya dia akan duduk berehat terlebih dahulu sambil memandang ke laut sebelum berjalan-jalan di sepanjang pantai.
“Memang saya ada ternampak pelampung ketika duduk berehat dan selepas itu bila saya berjalan-jalan di pantai, saya cuba mencari pelampung yang saya nampak tadi tetapi perasan satu objek yang pada mulanya saya ingat patung.
“Saya hampiri objek tersebut dan langkah terkejutnya bila mendapati itu adalah mayat. Saya terus menghubungi 999 untuk meminta bantuan,” katanya.
Menurut Asraf, dia tidak sangka itu adalah mayat bapa saudaranya sendiri sehinggalah polis tiba dan mengangkat mayat tersebut.
“Bila mayat ditelentangkan, saya nampak mukanya dan itu adalah Pak Long saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya, berkata, mayat Dermawi Zulkarnain, 71, ditemui dalam keadaan terdampar di Pantai Leban Chondong, Kuala Rompin, bersama dengan jaring pukat ikan dan dua
pelampung sekitar jam 6 petang.
"Mangsa dikatakan keluar rumah di Kampung Bangkong, Jalan Muadzam Shah sekitar jam 7 pagi kelmarin dengan menaiki motosikal menuju ke Pantai Leban Chondong untuk memukat ikan.
“Ketika ditemui, mayat dalam keadaan tertiarap bersama dengan jaring pukat ikan dan dua pelampung,” katanya kepada Sinar Harian.
Johari berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan calar pada pipi sebelah kiri.
“Hasil maklumat daripada isteri si mati, beliau memaklumkan suaminya itu menghidap sakit jantung dan lelah serta selalu memukat seorang diri di pantai tersebut,” katanya.
Mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Rompin untuk bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang.
0 comments:
Post a Comment