Kuantan – “Setiap kali dengar bunyi enjin motosikal, saya jadi takut dan trauma kerana kemalangan Februari lalu telah mengubah hidup saya kini,” kata Fatin Farhana Saari, 16, yang ditimpa kemalangan 10 Februari lalu.
Fatin yang mengalami kecederaan di kaki kanan kini sedang dalam rawatan di Wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke kedai runcit untuk membeli barang, tetapi sejurus sampai di sebuah selekoh di kawasan Sungai Isap, motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta.
“Kejadian itu berlaku sekelip mata apabila saya tercampak sehingga ke seberang jalan dan menyebabkan kaki kanan saya patah empat bahagian.
“Bukan sahaja tidak boleh berjalan, kaki saya kini dimasukkan besi untuk menyokong tulang yang patah di paha dan betis,” katanya.
Fatin merupakan anak seorang anggota polis dari cawangan pengangkutan IPD Kuantan turut menerima kunjungan daripada Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani ketika lawatan pegawai dan anggota PDRM sempena sambutan Hari Polis ke-207 di HTAA di sini semalam.
“Kadang kala jika terdengar enjin motosikal saya akan menutup telinga kerana insiden kemalangan tersebut masih segar dalam ingatan.
“Mungkin selepas ini saya akan fobia untuk menunggang atau membonceng motosikal lagi,” katanya.
Selain itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Isap ini berhasrat untuk kembali ke sekolah bertemu guru dan rakan-rakannya.
Menurutnya, dia rindu untuk hadir ke sekolah untuk berjumpa dengan rakan selain harus menumpukan perhatian dalam pelajaran bagi menghadapi peperiksaan SPM pada tahun depan.
“Saya harap boleh berjalan seperti biasa suatu hari nanti ,selepas besi di paha ditanggalkan.
“Saya akan teruskan rawatan dan fisioterapi di sini sehingga saya sembuh dan jalani kehidupan seperti remaja lain,” katanya.
0 comments:
Post a Comment