WUJUDNYA bangkai kapal perang di dasar perairan Pulau Pinang menjadi taman permainan bagi pelbagai spesies ikan di sini.
Sekali gus ia juga menjadi lokasi pembiakan ikan terutamanya ikan tenggiri yang tidak dinafikan antara ikan termahal dalam pasaran hari ini.
Bagaimanapun, ramai yang tidak sedar akan kewujudan kapal perang dari Jepun dan Rusia yang telah karam sekitar tahun 1940 hingga 1950-an itu.
Namun ia bukanlah sesuatu yang pelik bagi nelayan kerana lokasi kapal karam di Bayan Lepas itu menjadi punca rezeki mereka memandangkan kapal berkenaan sudah menjadi tukun ikan.
Malangnya, kapal perang yang menjadi tukun ikan itu kini dipercayai dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
Aktiviti mengambil besi kapal karam dari dasar perairan Pulau Pinang itu dipercayai sudah berlaku sejak akhir tahun lalu.
Ambil secara sah atau haram?
Ahli jawatankuasa Unit Nelayan Sungai Batu Teluk Kumbar, Shahran Abdul Khalid berkata, dia menyedari kegiatan sebuah kapal mengangkut besi di perairan pantai ini sejak Februari lalu.
Menurutnya, kejadian berlaku 12 batu nautika dari Pantai Sungai Batu.
“Kami hairan bagaimana bangkai kapal perang lama dari Jepun itu boleh diambil begitu saja, adakah secara sah ataupun haram, sedangkan jika diikutkan keadaan kapal berkenaan sudah buruk dan tidak lagi berbentuk kapal.
“Jika difikirkan logik akal, mungkin ada pihak yang mahu mengambil kapal perang lama ini kerana harga besinya yang begitu mahal, takkan mereka mahu memelihara kapal tersebut pula,” katanya kepada Sinar Harian.
Kegiatan mengambil badan kapal karam berkenaan bagaimanapun berjaya dirakamkan oleh beberapa nelayan yang berada di kawasan kejadian ketika menangkap ikan.
Malah turut dipercayai kegiatan mencuri bangkai kapal perang lama itu bukan saja terhenti di situ, tidak ketinggalan bangkai kapal perang Rusia turut pernah diambil.
Lokasi panas kaki pancing
Shahran berkata, lokasi kapal karam itu adalah di antara lokasi panas bagi nelayan dan juga pemancing.
“Jika ada orang hendak memancing, dan antara soalan utama mereka ada ikan tak, tidak lain tidak bukan itu adalah ikan tenggiri, ia kerana ikan tenggiri paling popular di kalangan pemancing.
“Bukan sahaja pemancing, malah nelayan turut ‘patah kaki’ akibat tiadanya lagi kapal yang sejak dahulu lagi menjadi rumah dan taman permainan ikan terutamanya ikan tenggiri,” katanya.
Pendapatan terjejas
Shahran berkata, dahulu hasil tangkapan bagi ikan tenggirinya mampu mencecah di antara RM100 hingga RM500 sehari.
“Bukan itu saja, malah disebabkan adanya tukun ikan yang berasal dari bangkai kapal ini juga membolehkan nelayan mendapat pendapatan sampingan, ia apabila ada di antara kaki pancing yang meminta kami membawa mereka ke lokasi kapal-kapal karam yang menjadi rumah ikan ini.
“Sekarang ia sudah semakin kurang, pemancing dari kawasan Balik Pulau, Seagate, Sungai Batu dan Permatang Damar Laut sudah kehilangan kawasan panas,” katanya.
Tegasnya, nelayan sedikit pun tidak hairan dengan kapal berkenaan, namun sekiranya kapal tersebut diambil, sepatutnya pihak bertanggungjawab menggantikan ia dengan tukun tiruan yang lain.\
“Sumber pendapatan kami adalah hasil laut, janganlah memusnahkan sumber pendapatan kami sebagai nelayan.
“Pihak yang lebih bertanggungjawab kena lakukan sesuatu sebelum keadaan menjadi lebih kritikal,” katanya.
Kapal karam terus 'dicuri'
Sementara itu, bagi nelayan Balik Pulau pula, Wan Mokhtar berkata, semalam sekali lagi bangkai kapal karam Jepun tersebut diambil sekumpulan pihak yang masih tidak dikenal pasti menggunakan tongkang.
Malah tidak dinafikan kapal perang Rusia sejauh 10.5 batu nautika dari Kuala Sungai Burung turut pernah diambil secara senyap-senyap.
Menurutnya, tindakan yang sama pernah berlaku pada tahun 1960 sehingga ada penduduk dari Balik Pulau diberikan sebuah motosikal dan kereta gara-gara menunjukkan lokasi kapal karam berkenaan.
“Pada masa itu memang sudah ada pihak yang berminat dengan kapal berkenaan namun kami tidak tahu rupa-rupanya sehingga kini masih ramai yang mengintainya sehinggalah mereka datang berulang kali dalam tempoh sebulan ini.
“Kami musykil adakah tindakan ini sah ataupun haram, jika diluluskan sekalipun, oleh siapa?. Perkara ini tidak boleh didiamkan kerana sumber pendapatan ratusan nelayan di perairan Pulau Pinang mungkin boleh terjejas sekiranya mereka terus menerus melakukan tindakan sebegini,” katanya.
Bagi mendapatkan penjelasan sebenar, esok, Sinar Harian akan mengupas lagi isu bangkai kapal perang karam yang dicuri ini melalui Jabatan Laut Pulau Pinang, Jabatan Perikanan, Persatuan Nelayan dan juga Adun Pulau Betong, Muhamad Farid Saad.
0 comments:
Post a Comment